Pilih Bahasa

Kerajaan negeri komited laksana konsep PBT Hijau tahun hadapan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited melaksanakan pembangunan berdasarkan konsep Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Hijau menjelang awal tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong berkata pihaknya sudah memilih daerah Tongod dan Nabawan sebagai lokasi projek perintis yang dijangka mula dilaksanakan pada Januari.

Jaujan (empat dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain menunjukkan buku Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu yang turut di lancarkan sempena Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Dua daerah ini dipilih disebabkan belum ada pembangunan yang pesat. Kita mahu bangunkan daerah ini bukan hanya dari segi pembangunan biasa seperti membina kedai tetapi ia juga melihat aspek alam sekitar.

“Kita ada ramai pakar serta agensi yang sudah diiktiraf kebolehan mereka dalam penjagaan dan pembangunan alam sekitar.

“Kementerian juga bakal bekerjasama dengan beberapa agensi termasuklah Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) menerusi pelaksaan projek ini kelak.

Jaujan (tiga dari kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Selain itu, kita turut merancang untuk mengadakan seminar sebelum projek ini dilancarkan bagi memberi maklumat dan menyebar luas perkara ini kepada masyarakat.

“Sekiranya perancangan ini membuahkan hasil, kita mungkin mengaplikasikannya di semua PBT seluruh negeri,” katanya ketika sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi merasmikan Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jaujan berkata konvensyen seumpama itu bukan hanya mampu menyampaikan pelbagai maklumat dan memberi peluang kepada pihak berkaitan termasuklah pemaju perumahan, persatuan arkitek dan pihak berkepentingan lain untuk membincangkan halatuju pembangunan hijau di negeri ini.

Jaujan berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi menjaga alam semula jadi dalam mengejar kemajuan semasa.

“Kita sebolehnya jangan menjejaskan biodiversiti seperti pokok, bukit dan sungai yang ada dikawasan terbabit kerana sumber kekayaan ini bukan hanya menyumbangkan kepada kehidupan malah ia menjadi salah satu tarikan pelancong ke negeri ini.

“Hal ini harus difahami khususnya dalam usaha menarik pelancong berikutan Sabah adalah negeri paling ramai menerima kedatangan pelancong ketika ini.

“Kita menerima kira-kira 2,000 kunjungan pelancong setiap hari ke bandar raya ini dan Semporna disebabkan keindahan laut, pulau dan hutan yang ada di sini,” katanya.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu yang sudah mula dilaksanakan sejak Januari tahun lalu meliputi lapan perkara termasuklah pembangunan dan penggunaan tanah, bekalan air, pengangkutan, lampu jalan, tenaga dan bangunan.

“Tiada tempoh masa tertentu bagi pelaksanaan pelan ini kerana pembangunan ini dijangka berterusan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, kita memerlukan kerjasama semua pihak seperti persekutuan, kerajaan negeri dan PBT bagi memastikan pelan ini berjalan seiring perancangan ditetapkan,” katanya. -SabahNews Today