Pilih Bahasa

Kerajaan negeri laksana pelbagai pembaharuan dan inisiatif penambahbaikan: Ketua Menteri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Jumlah anggaran perbelanjaan perbekalan negeri tahun depan sebanyak RM4.14 bilion diperuntukkan untuk agihan pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang; dan Perbelanjaan Khas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah keseluruhan anggaran perbekalan 2020, sejumlah RM739.59 juta disyorkan untuk emolumen, perbelanjaan berulang (RM1,495.88 juta) dan perbelanjaan khas pula, disyorkan sebanyak RM1,908.40 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunjukkan buku ucapan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau menjelaskan jumlah perbelanjaan untuk emolumen mencatatkan penurunan sebanyak RM2.55 juta atau 0.34 peratus berbanding dengan anggaran 2019 berjumlah RM742.14 juta.

Seperti tahun lalu, katanya sebab utama penurunan tersebut ialah pengurangan pembayaran gaji ekoran ramai kakitangan dan pegawai kerajaan Sabah yang telah dan akan bersara serta pengambilan kakitangan baharu melibatkan pembayaran gaji yang lebih rendah.

“Jumlah perbelanjaan berulang melibatkan peningkatan sebanyak RM123.94 juta atau 9.03 peratus berbanding anggaran 2019 sebanyak RM1,371.94 juta. Kenaikan perbelanjaan berulang mengambilkira peningkatan Peruntukan Khas; Pemberian Kepada Dana Pembangunan Usahawan Kecil; Bantuan Am; Bantuan Kepada Anak Yatim Dan Miskin; Keusahawanan Wanita dan Ibu Tunggal; Caruman Kepada Pihak Berkuasa Tempatan; dan Program-program di bawah Jabatan Kerja Raya Berulang.

“Penurunan jumlah perbelanjaan khas iaitu sebanyak RM137.20 juta atau bersamaan 6.71 peratus berbanding anggaran tahun ini yang berjumlah RM2,045.60 juta antaranya disebabkan oleh caruman Kepada Kumpulan Wang Amanah Khas (Sinking Fund) yang tidak lagi diperlukan kerana pembayaran balik bon bernilai RM1 bilion akan dilunaskan sepenuhnya pada tahun ini, selain penamatan pengurusan loji air di bawah kontrak Outsource,” katanya semasa membentangkan Belanjawatan Negeri Sabah Tahun 2020 di Dewan Undang Undangan Negeri (Dun) Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata perbelanjaan pembangunan negeri merupakan sumber yang amat penting dan diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Kata beliau perbelanjaan itu diagih dan dikawal melalui Bajet Pembangunan dalam mana peruntukan untuk tujuan ini diperolehi daripada caruman anggaran perbekalan negeri dan juga sumber kewangan Persekutuan dalam bentuk pemberian dan pinjaman.

Mohd Shafie bersedia membentangkan Belanjawan Negeri 2020. Gambar SNT/Ihsan JKM

Bagi maksud perbelanjaan pembangunan, jelas beliau lagi sebanyak RM960.91 juta dicadang untuk diperuntukkan dalam tahun 2020 dan jumlah itu terdiri daripada peruntukan kerajaan Sabah sebanyak RM735.64 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM225.27 juta.

Selaras dengan intipati tema Bajet Negeri 2020, katanya agihan peruntukan pembangunan untuk tahun hadapan tertumpu kepada sektor ekonomi sebagai penerima amaun terbesar iaitu sebanyak RM468.40 juta atau 64 peratus, diikuti oleh sektor sosial (RM246.62 juta atau 34 peratus) dan sektor pentadbiran am sebanyak RM20.62 juta atau tiga peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk 2020.

“Untuk makluman juga, dalam tempoh RMK11, 2016-2020 kerajaan negeri telah meluluskan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM3,500 juta.

“Siling peruntukan itu telah disemak ke atas di bawah Kajian Separuh Penggal rancangan yang sama kepada RM4,074.76 juta bagi membiayai sebanyak 749 projek pembangunan.

“Dalam tempoh empat tahun pertama daripada tahun 2016 sehingga 30 September 2019, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan pembangunan tahunan berjumlah RM3,310.56 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2,432.5 juta atau 73.4 peratus telah dibelanjakan.

“Daripada jumlah projek yang diluluskan, sebanyak 154 buah projek telah siap dilaksanakan manakala, 458 projek lagi dalam pelaksanaan dan selebihnya sebanyak 137 projek masih dalam perancangan untuk pelaksanaan, khususnya pada 2020 yang merupakan tahun terakhir dan penghujung kepada tempoh RMK-11,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata daripada aspek ekonomi, sebanyak RM896.32 juta diperuntukkan terhadap usaha untuk merancakkan pembangunan dengan tumpuan kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif negeri utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian.

Sektor Pertanian

Kerajaan Negeri telah menyediakan `Agriculture Blueprint, 2021-2030’ yang menjadi panduan dalam membangunkan sektor tersebut secara terancang untuk tempoh 10 tahun akan datang termasuk menerajui potensi pertanian yang belum diterokai dan melaksanakan pelbagai program pembangunan perikanan serta penternakan ke arah meningkatkan lagi hasil keluaran pertanian secara komersil serta bernilai ditambah yang tinggi di Sabah.

Mohd Shafie berkata sungguhpun, pelaksanaan blueprint tersebut dirancang bermula dalam tempoh RMK12, namun beliau telah meminta Kementerian Pertanian & Industri Makanan Sabah melancarkannya pada awal November baru-baru ini dan memulakan pelaksanaannya pada tahun depan.

“Sebagai permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM24.0 juta di bawah MAFI untuk membiayai pelaksanaan program dan projek blueprint tersebut pada tahun 2020. Peruntukan tersebut adalah untuk membiayai pelaksanaan program dan projek berkaitan di bawah jabatan dan agensi seperti Lembaga Industri Getah Sabah (RM2.5 juta), Ko-Nelayan (RM2.9 juta), Jabatan Pertanian (RM5.3juta), Jabatan Perikanan (RM3.5 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM2.2 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM6.0 juta) dan Koperasi Pembangunan Desa pula RM1.6 juta.

“Pada tahun ini, saya telah meluluskan sejumlah RM25.0 juta di bawah Peruntukan Khas Menteri Kewangan untuk membiayai dua program pertanian yang memberi faedah secara langsung kepada petani, nelayan dan penternak. Program tersebut ialah Bantuan Bibit, Benih dan Baja yang diagihkan peruntukan RM20.0 juta; dan juga Bantuan Khas Padi Bukit dengan peruntukan RM5.0 juta,” jelas beliau lagi.

Daripada jumlah peruntukan tersebut, sejumlah RM7.5 juta telah diagihkan kepada Jabatan Pertanian untuk memberikan bantuan “in-kind” bagi meringankan beban serta kos pengeluaran para petani dalam meningkatkan produk pertanian dan pendapatan mereka.

Sektor Perindustrian

Sektor pembuatan dijangka terus kekal sebagai satu daripada penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam tahun 2020.

Sektor ini mengalami kadar pertumbuhan tahunan secara purata yang rendah sekitar 3.85 peratus dalam tempoh 2017 sehingga 2018, namun sumbangan sebenar sektor tersebut kepada KDNK negeri telah meningkat sebanyak RM0.15 bilion daripada RM6.36 bilion pada 2017 kepada RM6.51 bilion pada 2018.

Sumbangan sektor pembuatan kepada perdagangan luar juga signifikan dengan nilainya mencecah RM2.6 billion atau 6.2 peratus daripada jumlah eksport pada 2017. Dari segi pelaburan, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM0.23 bilion pada 2018 melibatkan pengaliran masuk dana pelaburan domestik dan asing.

Dengan pelaburan tersebut, sektor pembuatan berjaya menyediakan 1,616 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh yang sama.

Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, kerajaan negeri akan memberi penekanan dari segi dasar kepada pembangunan sektor perindustrian. Langkah ini merupakan suatu pendekatan dan strategi utama untuk mempercepat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah ke arah mencapai status sebuah negeri maju berpendapatan tinggi.

Pembangunan IKS dan Keusahawanan

Mohd Shafie berkata pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga telah dan akan terus diberi tumpuan sebagai pemangkin utama kepada industri pembuatan.

Katanya program-program memperkasakan IKS yang telah dilaksanakan termasuklah mengadakan kursus keusahawanan; meningkatkan kemahiran terutama menggunapakai teknologi baharu; memberikan bantuan mesin untuk meningkatkan pengeluaran dan pembungkusan serta menyertai expo di peringkat nasional dan antarabangsa bagi mempromosikan produk keluaran usahawan IKS tempatan.

“Setakat Ogos 2019, sebanyak enam ekspo peringkat antarabangsa telah disertai oleh para pengusaha IKS daripada Sabah, yang mana berjaya mendapatkan tempahan jualan sebenar sebanyak RM23.0 juta.

“Program di bawah One District One Small Industri seperti Festival Industri Kecil Sabah yang dilancarkan pada Julai 2018, telah memberi manfaat kepada 649 usahawan IKS melalui penganjuran di tiga daerah dalam tahun ini.

“Sementara itu, sehingga Ogos 2019, program-program berkaitan kursus keusahawanan seperti KIKSTART telah memberikan latihan kepada seramai 300 usahawan IKS,” katanya.

Sektor Pelancongan

Setakat Januari hingga Ogos 2019, ketibaan pelancong ke Sabah mencatatkan pertumbuhan dengan sihat pada kadar 8.2 peratus dan seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh yang sama seramai 2.78 juta dengan anggaran perbelanjaan pelancongan mencecah RM6.0 bilion.

Ketibaan pelancong antarabangsa masih didominasikan oleh pelawat dari China dan Korea Selatan. Kerajaan negeri melalui KePKAS akan mengambil langkah meluaskan lagi pasaran pelancongan dengan memberi tumpuan kepada pasaran India dan Eropah yang mempunyai potensi besar untuk diterokai.

Pada masa ini Sabah mempunyai akses ke 24 destinasi melalui 224 penerbangan antarabangsa setiap minggu, 445 penerbangan domestik dan 62 penerbangan sewa khas daripada China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun dan Singapura.

Bilangan penerbangan yang cukup banyak ini telah menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu antara lapangan terbang yang tersibuk di Malaysia dan menempatkan negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Bagi menyemarakkan prestasi sektor pelancongan di Sabah pada tahun hadapan, kerajaan negeri akan memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran ketibaan pelancong, seramai 4.18 juta dan anggaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM8.96 bilion.

“Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM237.61 juta untuk pembangunan sektor pelancongan. Ini termasuklah peruntukan perbekalan dan pembangunan kepada KePKAS berjumlah RM130.90 juta manakala baki sebanyak RM106.71 juta diagihkan kepada jabatan dan agensi lain yang turut menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan seperti Jabatan Perhutanan dan Pusat Biodiversity Sabah.

“Peruntukan KePKAS tersebut akan dibelanjakan untuk pelaksanaan program pembangunan infrastruktur serta produk-produk pelancongan, termasuk Community Based Tourism dan pelancongan luar bandar; pelestarian budaya dan warisan etnik Sabah, promosi pelancongan dan pengurusan alam sekitar yang mampan,” katanya.

Kerajaan melalui KePKAS, mensasarkan penambahan koleksi Warisan Khazanah Negeri daripada 70,000 unit pada tahun 2019 kepada 77,000 unit dalam tahun 2020.

Sebagai menyokong pembangunan industri pelancongan berasaskan budaya, penganjuran karnival, festival, bengkel budaya dan bahasa serta program seumpamanya akan terus diperkasakan bagi mempastikan warisan budaya yang unik melibatkan 35 etnik dan 217 subetnik dikekalkan.

Di samping itu, usaha juga akan diteruskan untuk mengenalpasti bangunan, tapak dan monumen yang boleh diangkat sebagai Warisan Negeri. Penerbitan bahan budaya akan terus digandakan, dan dalam masa yang sama pendigitalan maklumat penerbitan serta koleksi yang diiringi oleh Perlindungan Harta Intelek.

Kemudahan Awam dan Infrastruktur Sokongan

Secara keseluruhannya, Sabah masih lagi ketinggalan dan kekurangan dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang mencukupi dan berkualiti untuk keselesaan hidup rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi negeri, oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan, pengangkutan awam, serta utiliti seperti perkhidmatan pembetungan, bekalan air dan juga elektrik.

Katanya kesungguhan kerajaan ini dibuktikan melalui penyediaan peruntukan yang besar untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam sebanyak RM1,571.51 juta pada 2020.

Jumlah ini termasuklah peruntukan untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan jabatan serta agensi di bawahnya yang berjumlah RM929.44 juta serta peruntukan di bawah kawalan Kementerian Kewangan berjumlah RM530.70 juta.

Bagi 2020, Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan sebanyak RM196.69 juta untuk membiayai pelaksanaan program- program pembangunan jalanraya, jambatan, pembetungan, pembaikan cerun dan bangunan kerajaan.

Sebagai tambahan, Kerajaan Persekutuan dijangka akan memperuntukkan RM1.0 bilion untuk meneruskan pelaksanaan 11 buah projek sambungan dan memulakan 4 buah projek baharu Lebuhraya Pan Borneo.

Antara lain program yang akan dilaksanakan oleh JKR di bawah pembiayaan negeri pada tahun 2020 termasuklah:-

  • Menyiap dan membina jalan-jalan baharu di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran, Beluran, Kudat, Putatan dan di pekan kecil, luar bandar; serta pembaikan cerun-cerun; jambatan; dan pengurusan trafik dengan peruntukan sebanyak RM77.24 juta
  • Membina dan menyelenggara bangunan-bangunan Kerajaan Negeri, termasuk kuarters dengan peruntukan sebanyak RM74.60 juta
  • Kerja-kerja membaikpulih sistem pembetungan di daerah-daerah termasuk di bawah PBT, yang mana program ini akan dibiayai melalui peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM15.0 juta dan Pinjaman Persekutuan berjumlah RM94.15 juta.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM546.02 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah untuk tujuan operasi dan pelaksanaan projek pembangunan pada tahun 2020. Antara lain program dan projek yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan ialah:- 


  • Progam Khas Bekalan Air dengan peruntukan sebanyak RM125.0 juta;
  • Program Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil dengan peruntukan berjumlah RM7.9 juta
  • Program-program Menaiktaraf Paip Utama, Agihan dan Retikulasi; Tangki, Reservoir dan Pam Penggalak; serta Loji dan Muka Sauk dengan peruntukan sejumlah RM18.5 juta
  • Program Bekalan Air Serta-Merta dan Rancangan Bekalan Air Negeri Sabah di bawah Program Pinjaman Mudah Persekutuan yang mana dibiayai terlebih dahulu dengan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM48.0 juta.

Isu gangguan bekalan tenaga elektrik di Pantai Timur Sabah sejak sekian lama sudah tentu menghambat pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi di kawasan tersebut.

Oleh yang demikian pada masa ini kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan SESB bagi meningkatkan kapasiti aliran tenaga dari Pantai Barat ke Pantai Timur melalui Projek Southern Link.

Projek ini akan memberi bekalan elektrik yang lebih baik dan melengkapkan tunjang utama Grid 275kV sistem di Sabah.

Bagi pelaksanaan awal projek tersebut, SESB telah diberikan geran dan peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM69.0 juta untuk tempoh 2019-2020.

Ini adalah untuk membiayai kerja-kerja awal penilaian dan pengambilalihan tanah bagi jajaran talian penghantaran bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah.

Modal Insan

Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasa pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan dan berintegriti supaya mampu memartabatkan Sabah ke tahap lebih tinggi lagi.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM267.43 juta untuk pembangunan modal insan, termasuk keagamaan dan kemudahan serta infrastruktur sokongan berkaitan pada tahun hadapan.

Daripada jumlah tersebut, RM124.66 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program pembudayaan inovasi.

Ini termasuklah pewujudan hab inovasi dan penganjuran kempen, seminar serta pertandingan seperti Makerspace dan bengkel “Do It Yourself” di sekolah-sekolah di Sabah pada 2020. Di samping itu, persidangan atau simposium juga akan dianjurkan bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada semua pihak yang berjaya menghasilkan sesuatu rekaan atau ciptaan baharu.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri melalui kementerian berkenaan akan meneruskan komitmen untuk menangani isu sekolah daif di Sabah melalui kerjasama yang lebih erat dengan kementerian berkenaan di peringkat Persekutuan.

Bagi membantu pelajar-pelajar daripada Sabah yang layak untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di dalam dan luar negara, kerajaan negeri akan terus menyedia dan menawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM52.0 juta pada tahun hadapan.

Bantuan ini dijangka akan memberikan faedah kepada sekitar 1,200 orang pelajar daripada kalangan anak-anak tempatan pada tahun 2020.

Sebagai gedung ilmu, Perpustakaan Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM43.28 juta untuk tujuan mengurus dan pembangunan dalam tahun 2020. Peruntukan tersebut akan dibelanjakan antara lainnya untuk pelaksanaan program-program yang dirancang pada tahun tersebut seperti:-

  • Memulakan pembinaan bangunan perpustakaan cawangan Tenom dan Kunak
  • Mengganti bas bergerak yang telah usang di cawangan Sandakan dan menyediakan bas DesaNet di cawangan Papar, Kudat dan Keningau
  • Membangun koleksi yang komprehensif dengan perolehan buku, e- book; e-jurnal; terbitan berkala; serta bahan audio visual dan
  • Melaksanakan program kempen membaca secara besar-besaran di seluruh rangkaian perpustakaan di negeri ini.

Adalah menjadi dasar dan matlamat Kerajaan hari ini untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi termasuk dari aspek teknologi seperti ICT. Dalam dunia moden dan era globalisasi hari ini, kemampuan modal insan dalam menguasai teknologi digital yang bertunjangkan infrastruktur dan infostruktur ICT amatlah kritikal dalam usaha Kerajaan untuk maju dan bergerak pantas ke hadapan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM57.49 juta untuk latihan, kursus-kursus dan pembangunan ICT di Sabah pada tahun depan termasuklah peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi sebanyak RM35.69 juta dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah berjumlah RM20.90 juta.

Baki peruntukan selebihnya sebanyak RM0.90 juta diletakkan di bawah kawalan Kementerian Kewangan. Peruntukan tersebut akan dibelanjakan antara lainnya untuk meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Government); program Kreatif Inovasi; dan Program Pembangunan IT. – SabahNewsToday