Pilih Bahasa

Kerajaan negeri lantik jururunding, laksana pengambilalihan SESB

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah melantik juruperunding bagi melaksanakan penilaian menyeluruh yang merangkumi aspek teknikal dan kewangan untuk proses pengambialihan milikan Sabah Electrucity Sdn. Bhd. (SESB).

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) juga telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras urusan pengambialihan berkenaan.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Keseluruhan proses ini termasuk proses rundingan dengan pihak kerajaan pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelak dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun atau lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan usul terima kasih ke atas ucapan dasar kerajaan disampaikan oleh TYT sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dun ke-15, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, sasaran Indeks Masa Purata Gangguan Sistem (Saidi) 225 minit yang dikemukakan oleh SESB ketika Konsultasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada September 2018 adalah sasaran awal berdasarkan sasaran untuk mencapai Saidi 150 minit menjelang 2020.

“Sasaran Saidi adalah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kelulusan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (Mestecc).

“Ia perlu merujuk kepada pencapaian sebenar bagi 2018. Pencapaian Saidi SESB bagi 2018 telah mencatatkan 268 minit per pelanggan berbanding dengan 241 minit per pelanggan pada 2017.

“Pihak Mestecc dan ST telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan SESB untuk mengkaji semula sasaran Saidi dan peta hala tuju untuk penurunan Saidi dengan mengambil kira inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti dan keperluan dana yang boleh diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Namun, tambahnya perkara tersebut hanya akan dapat dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif Sabah yang dijadualkan pada Mei.

Katanya mesyuarat ini akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Mestecc dan Ketua Menteri Datus Seri Mohd Shafie Apdal.

“Oleh itu, sasaran Saidi bagi 2019 hanya dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut,” jelasnya. -SabahNewsToday