Pilih Bahasa

Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci terhadap pengambilan karang hidup

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pengambilan karang hidup yang tular menerusi media sosial baru-baru ini berlaku di luar kawasan Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan namun pihak berkuasa tetap diarahkan menyiasat kejadian itu secara terperinci.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata beliau memandang serius perkara tersebut dan ianya sama sekali tidak harus dibiarkan berterusan dan berleluasa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Perkara ini bukan sahaja merosakkan alam semulajadi, sekaligus menjejaskan sumber pendapatan para nelayan dan pengusaha pelancongan, tetapi juga merosakkan imej dan nama baik negeri Sabah di mata dunia,” katanya hari ini.

Mengulas posting Facebook oleh Laili Basir yang menyatakan aktiviti tersebut dikesan berlaku di perairan Semporna, Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata:

Antara gambar yang dimuat naik ke dalam Facebook akaun Laili Basir menunjukkan karang hidup yang dipercayai diambil dari perairan Semporna untuk dijual atau export katanya. Gambar SNT/Ihsan FB Laili Basir

“Walaupun telah ditentusahkan bahawa pengutipan karang ini berlaku di luar kawasan Taman Marin (tidak berlaku di kawasan Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan), tetapi saya telah mengarahkan Taman-Taman Sabah dan juga Jabatan Hidupan Liar untuk memberi kerjasama kepada Jabatan Perikanan Negeri Sabah untuk menyiasat dengan terperinci perkara ini.

“Saya telah mengarahkan agar satu kumpulan kerja ditubuhkan khusus menangani perkara ini. Antara tugas utama kumpulan kerja ini adalah untuk memastikan perkara ini tidak berulang di masa akan datang,” katanya.

Pemilik akaun Facebook berkenaan turut memuatnaik gambar-gambar karang hidup dalam postingnya “No to coral export” yang dipercayai diambil untuk dijual.-SabahNewsToday