Pilih Bahasa

Kerajaan negeri mengalukan inisiatif penambahan akses jalur lebar NFCP di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan inisiatif Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) memberi fokus terhadap pelaksanaan dasar serta projek yang akan meningkatkan kelajuan selain mengurangkan kos penempatan infrastruktur di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembangunan seumpamanya akan menggalakkan kemajuan dalam rangkaian gentian optik, pemancar komunikasi mudah alih, kabel bawah laut dan perkhidmatan satelit.

Jaujan (tengah) mewakili Ketua Menteri menyaksikan majlis Pertukaran Perjanjian Akses diantara Maxis Berhad dengan Celcom Timur Sabah di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“NFCP mensasarkan untuk menyediakan kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk tinggi serta kawasan perindustrian menjelang 2020 dan semua ibu negeri menjelang 2023.

“Pembangunan ini sudah pasti akan memperkasakan lagi daya saing ekonomi dan tahap kehidupan masyarakat.

“Berdasarkan kajian oleh Bank Dunia, ia menunjukkan peningkatan 10 peratus dalam keupayaan jalur lebar boleh memberikan keputusan positif peningkatan sebanyak 1.38 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya ketika berucap sempena acara Pertukaran Perjanjian Akses diantara Maxis Berhad dengan Celcom Timur Sabah, di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie berkata kerjasama diantara perkhidmatan penyedia telekomunikasi adalah penting dalam perlaksanaan NFCP.

Katanya dengan melebarkan akses jalur lebar di sini, lebih ramai pelanggan dan perniagaan di Sabah mampu mencapai keupayaan internet bagi mewujudkan lebih banyak peluang yang mampu membantu mempercepatkan perkembangan ekonomi digital negeri ini.

“Pada masa sama, usaha memastikan perkembangan jalur lebar di kawasan pedalaman negeri ini harus tidak dipinggirkan sekiranya ingin mengurangkan jurang digital diantara bandar dan luar bandar di Sabah.

“Terdapat kawasan perkampungan di Sabah tidak mampu dilalui dengan jalan darat disebabkan bentuk muka bumi, hanya jalur lebar sahaja bentuk komunikasi mereka dengan kawasan lain khususnya ketika berhadapan dengan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata petani yang tinggal jauh dari bandar juga mampu memasarkan produk mereka secara atas talian tanpa perlu bergerak jauh ke tamu atau pasar awam berdekatan bagi menjual hasil pertanian mereka.

Menurutnya pendekatan sambungan digital juga menjadi pemacu penting dalam usaha kerajaan negeri bagi menjayakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dilaksanakan diantara 2021 dan 2025.

“RMK12 memberikan tumpuan terhadap agenda pembangunan yang merangkumi semua sektor secara inklusif terhadap masyarakat, meningkatkan kebajikan rakyat, pembangunan seimbang, memperkasakan modal insan dan meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Shafie berkata Kerajaan Sabah akan terus memainkan peranan untuk menyediakan teras ekonomi yang kukuh bagi memastikan negeri, rakyatnya serta para peniaga bersedia sepenuhnya bagi berhadapan dengan Industri 4.0.

Hadir sama ialah Pengerusi Maxis Berhad Tan Seri Arshad Tun Uda, Pengerusi Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd Ahmad Rizal Dahli, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad Gokhan Ogut dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Timur Sabah Nazaruddin Abdul Rahim.-SabahNewsToday