Pilih Bahasa

KERAJAAN NEGERI MOHON KDN PERTIMBANG PROGRAM PEMUTIHAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PAPAR: Kerajaan negeri meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan cadangan program pemutihan membabitkan pemberian dokumen kepada kanak-kanak salah seorang ibu bapa warga tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata cadangan berkenaan adalah salah satu inisiatif pihaknya membantu kanak-kanak berkenaan memperoleh kehidupan lebih baik termasuklah aspek pendidikan dan taraf hidup.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) bersalaman dengan penduduk setempat sempena Majlis Sentuhan Kasih dan Kenduri Sekampung di Papar, hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Shafie berkata perkara terbabit sudah dikemukakan dalam Persidangan Dewan Rakyat dan kini hanya terpulang kepada KDN bagi menjawabnya.

“Respon saya berkaitan hal ini pastinya menyokong penuh cadangan berkenaan kerana program pemutihan ini membabitkan kanak-kanak yang salah seorang ibu bapa mereka orang Sabah.

“Kita bukannya bagi dokumen kepada pendatang asing tanpa izin (PATI). Ibu atau bapa mereka memang sudah ditakdirkan berkahwin dengan pasangan bukan asal negeri ini, kita sebagai individu yang berasal daripada negeri ini tentunya tidak mahu membiarkan generasi muda ini terlantar begitu sahaja.

“Ada seorang wanita berbangsa Dusun di Keningau berkahwin dengan seorang lelaki warga Afrika dan mempunyai tiga anak. Suaminya sudah meminta supaya menjadi penduduk tetap disebabkan lebih 20 tahun tinggal di daerah berkenaan namun belum menerima kependudukan tetap.

“Berikutan bapa bukan penduduk tetap, semua anak pasangan ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya ketika sidang selepas mengadakan lawatan ke salah sebuah rumah penduduk daif di Kampung Kuala Dalam, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang warga emas sempena Majlis Sentuhan Kasih dan Kenduri Sekampung di Papar. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Terdahulu, Mohd Shafie merasmikan Majlis Sentuhan Kasih dan Kenduri Sekampung di Masjid Raudhatul Ilmiah, Kampung Kuala Papar.

Turut disampaikan bantuan zakat dan nelayan kepada penduduk memerlukan sekitar Parlimen Papar.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata beliau pada Persidangan Dewan Rakyat Selasa lalu menyatakan kerajaan negeri di bawah kepimpinannya akan membantu golongan kanak-kanak yang lahir di Sabah tetapi dikategorikan sebagai warga asing walaupun salah seorang ibu bapa mereka adalah orang tempatan atas nilai perikemanusiaan yang tinggi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dalam persidangan sama menyatakan akan sedia membantu golongan kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan kewarganegaraan. -SabahNews Today