Pilih Bahasa

Kerajaan negeri pelawa 28 syarikat tempatan tersenarai Bursa Saham bantu Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Syarikat awam di negeri ini yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur berupaya membantu kerajaan negeri dalam memajukan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia berdasarkan keupayaan serta pengalaman mereka dalam bidang perniagaan masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Gambar Fail SNT

“Kita mengajak syarikat tempatan ini supaya menceburkan diri dalam sektor pembangunan, pelancongan dan sebagainya kerana kerajaan tidak hanya bergantung dengan pelabur luar semata-mata dalam merancakkan ekonomi negeri.

“Sekurang-kurangnya juga kita dapat melihat potensi mereka untuk meningkatkan daya upaya mereka dan perniagaqn yang sedia ada dapat dipelbagaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil syarikat tempatan di Pejabat Menteri Kewangan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Setakat ini Mohd Shafie berkata kerajaan negeri telah mempelawa kerjasama dengan sebanyak 28 buah syarikat awam di Sabah dalam sektor hartanah dan perladangan di Sabah.

“Kita berharap mereka dapat menyambut baik apa yang kita nyatakan cuma mungkin mereka mahu supaya ada kejelasan daripada segi hala tuju kerajaan dan tumpuan sektor yang diberikan oleh kerajaan negeri.

“ini merupakan satu perkara yang bukan hanya perlu diperincikan tapi diielaskan selanjutnya agar membolehkan mereka mengetahui keadaan ini kerana ia merupakan pertemuan pertama mereka dengan saya,” katanya. – SabahNewsToday