Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri pelawa Proton buka kilang di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menandatangani plak perasmian Bangunan Proton. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) mampu menggembangkan perkhidmatannya kepada para pengguna di negeri ini sekiranya terdapat sebuah kilang pemasangan kenderaan Proton pertama dibina di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah merupakan lokasi sesuai dan strategik untuk mewujudkan kilang tersebut kerana terletak lebih dekat dengan negara Asia seperti Indonesia, Filipina, Jepun dan Hong Kong berbanding Kuala Lumpur atau Singapura.

Beliau menambah pengguna atau pembeli Proton nanti bukan sahaja terdiri daripada penduduk Sabah, malah rakyat negara jiran seperti Indonesia juga berpeluang memiliki rangkaian kenderaan itu apabila Kalimantan secara rasmi menjadi Ibu negara republik itu nanti.

Mohd Shafie (kanan) memandu Proton X70 sempena perasmian Bangunan Proton yang juga Pusat 4S terbesar pertama di Malaysia. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“JIka Proton bersetuju dengan pelawaan ini kita akan menyediakan tapak kepada mereka untuk pembinaan kilang pemasangan kenderaan Proton di Sabah.

“Kita yakin ini adalah pelaburan jangka panjang yang bakal menguntungkan Proton ini memandangkan kita bukan sahaja membantu daripada segi logistik tetapi juga tenaga kerja mahir yang diperlukan di kilang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bangunan Pusat 4S Proton di Metro Town, Lintas di sini hari ini.

Mohd Shafie (tengah) disertai beberapa tetamu jemputan memotong riben sempena perasmian Bangunan Proton yang juga Pusat 4S terbesar pertama di Malaysia. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dan Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Fook Loi, Anthony Chiu.

Mohd Shafie berkata Sabah merupakan kuasa beli kenderaan khususnya pacuan empat roda yang tinggi berbanding Semenanjung.

Katanya kadar pengguna kenderaan di negeri ini termasuk Proton semakin meningkat atapahlagi dengan keperluan semasa dan pertambahan jenama kenderaan di pasaran ketika ini yang menawarkan harga berpatutan kepada orang ramai.

“Tetapi apa yang penting bagi kita industri automotif ini sangat kompetitif, kita telah melihat naik turun industri ini di pasaran dunia.

“Saya pasti kita boleh menjual lebih banyak Proton, namun yang penting di sini, bagi rakyat Malaysia adalah kualiti sesebuah kenderaan itu,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri yakin Proton sentiasa menghasilkan kenderaan berkualiti untuk keperluan pengguna dan menambah baik rangkaian model sedia ada di pasaran. – SabahNewsToday