Pilih Bahasa

Kerajaan negeri perlu desak kerajaan PH tambah dana untuk sekolah daif

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah mendesak kerajaan agar melakukan tindakan proaktif dalam menangani masalah sekolah sekolah daif di negeri ini.

Mohd Kurniawan Naim Moktar. – Gambar Fail SNT

Ketua Penerangannya Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata berdasarkan kepada kenyataan Menteri Pelajaran dan Invoasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yakub baru-baru ini sejumlah 707 buah sekolah daif dikenal pasti di negeri ini.

Beliau berkata angka itu jelas menunjukkan satu angka yang agak besar dan dibimbangi turut menjejaskan keselamatan murid sekali gus menjejaskan kualiti pembelajaran mereka seharian.

“Kita ambil contoh purata kos pembaikan sebuah sekolah dalam anggaran RM1 juta, bermakna kerajaan negeri memerlukan sekitar RM707 juta untuk kos pembangunan sekolah sekolah daif ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Kurniawan yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan dalam Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng  baru-baru ini hanya sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk sekolah-sekolah daif di seluruh Malaysia.

Beliau mempersoalkan bagaimana jumlah peruntukan RM100 juta boleh menampung keperluan untuk membaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di negeri ini yang berjumlah 707 buah.

Jelasnya lagi berbeza dengan bajet 2018 dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM1 billion diperuntukkan untuk membaiki pulih dan membina semula sekolah-sekolah daif di Sabah begitu juga di Sarawak.

Sehubungan itu Mohd Kurniawan berkata kerajaan negeri perlu mendesak kerajaan Persekutuan agar menambah dana pembangunan untuk sekolah daif di Sabah serta menyegerakan penyediaan peruntukannya bagi membolehkan kerja membaiki sekolah berkenaan dipercepatkan demi keselesaan guru dan pelajar sekolah yang terlibat.

“Kegagalan untuk mendesak kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan  akan memberikan gambaran negatif kepada kerajaan negeri dan menteri yang berkenaan tanpa sebarang iltizam dan  ia boleh dianggap sebagai retorik politik semata mata,” ujarnya. – SabahNewsToday