Pilih Bahasa

Kerajaan negeri perlu isi kekosongan jawatan awam di Keningau – Robert

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Robert Tawik menggesa Kerajaan Negeri segera mengisi kekosongan jawatan awam dalam pelbagai jabatan di daerah Keningau.

Katanya banyak jawatan awam di jabatan kerajaan kosong berikutan penjawatnya telah pencen dan ianya tidak diisi sejak kerajaan lalu.

Robert Tawik. Gambar Fail SNT

Beliau berkata pengisian jawatan-jawatan itu perlu dipercepatkan kerana beberapa jabatan di Keningau kini menghadapi kekurangan kakitangan yang kritikal sehingga menjejaskan fungsi jabatan.

“Antara jabatan tersebut ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Haiwan.

“Dengan penarikan balik dasar pembekuan pengisian jawatan awam mulai Mei 2019, kita berharap pengisian jawatan-jawatan kosong itu dapat disegerakan”, katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 di Persidangan Dun Sabah.

Robert berkata pengisian kekosongan jawatan-jawatan awam itu amat perlu kerana banyak urusan kerajaan tergendala dan tidak dapat ditangani oleh kakitangan sedia ada yang akhirnya rakyat yang menderita.

Beliau turut meminta JKR mengambil tindakan menaiktaraf, mengaspal jalan-jalan dalam kawasan DUN Bingkor iaitu Jalan Ulu Pangas, Jalan Kg. Minansut ke SRK, Jalan Kg.Liau Darat, Jalan Liau Ulu Apin-Apin, Jalan Bunga Raya, Jalan Kg.Bingkor Lama, Jalan Gua Laing, Jalan Ulu Bagam, Bandukan dan Jalan Kg.Kikiran Ulu.

Katanya jambatan kayu yang perlu dibaiki dan dinaiktaraf ke jambatan konkrek ialah jambatan Kg.Liau Ulu, Kg.Tuarid Taud, Kg. Tuarid Taud-Dangulad, Kg. Sasaie, Bailey Bridge Bingkor ByPass, Kg. Kota Ayangan-Tigot dan Kg Bunga Raya.

Menurutnya, Kerajaan juga perlu membina jalan alternatif bagi mengatasi kesesakan jalan raya di Pekan Keningau, iaitu dari Hospital Besar Keningau ke Jalan Durok sejauh 8 kilometer.

Robert juga menggesa Kerajaan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air paip bersih di Kg.Bunga Raya, Kg.Liau Ulu, Kg.Takad Apin-Apin dan Kg.Pangas Ulu, selain Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Bundukan Lama dan Mukim Bunga Raya, Bingkor.

Beliau juga meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar membina dewan serbaguna/dewan terbuka di kampung-kampung yang belum memiliki kemudahan itu iaitu Kg.Baru, Kg.Antolob, Kg.Bunsit, Kg.Tuarid Taud, Kg.Sasaie, Kg.Tangkungan, Kg. Liposu, Kg.Riting, Kg. Ranggom, Kg.Takad, Kg. Kikiran dan Kg.Tagai.

Katanya kampung-kampung yang memerlukan naiktaraf jambatan gantung dan kayu ialah Kg. Bandukan, Kg. Bunsit, Kg.Tangkungan, Kg.Minansut, Kg. Merampong, Kg.Tohan Baru, Kg.Nuntunan, Kg Kepayan Lama, Kg.Linsudan, Kg.Bingkor Lama, Kg.Baginda dan Kg. Dangulad.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan perlu menyediakan peruntukan untuk membina rumah-rumah tradisi budaya suku kaum Dusun Gana, Kujau, Nabai, Liwan, Lundayeh, Murut dan Labou di kawasan Gua Laing.

“Taman Rekreasi Bandukan dan Taman Perkelahan Minansut juga perlu dinaiktaraf kerana potensinya untuk menarik perhatian pelancongan dan pelawat selain sebagai mercu tanda dalam daerah Keningau”, katanya.

Robert juga memohon agar Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat agar menaiktaraf infrastruktur Klinik Kesihatan Bingkor dan Apin-Apin bagi tujuan keselamatan dan keselesaan pesakit.

Beliau turut menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan meningkatkan pelbagai kemudahan awam di Pekan Bingkor seperti taman rekreasi kanak-kanak, landskap dan taman bunga, gerai jualan sebanyak 15 buah di kawasan Tamu Bingkor dan padang bola sepak.-SabahNewsToday