Pilih Bahasa

Kerajaan negeri perlu serius banteras aktiviti bom ikan: Hajiji

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Datuk Hajiji Noor. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih serius bagi membanteras aktiviti bom ikan di perairan negeri ini.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri, Datuk Hajiji Noor berkata pihak berkuasa keselamatan dan Jabatan Perikanan juga perlu melipatgandakan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada.

“Kita perlu meningkatkan usaha membanteras aktiviti bom ikan yang agak berleluasa berlaku di Sabah sekarang ini”.

“Ini kerana aktiviti itu bukan sahaja mengancam dan memusnahkan sumber ikan dan terumbu karang, malah turut membahayakan pelancong yang melakukan aktiviti menyelam di kawasan terumbu”, katanya.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mengkritik laporan akhbar mengenai seorang menteri dari Sabah yang menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Gaya kebanyakannya membabitkan kanak-kanak.

Dalam pada itu Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata, beliau telah membangkit isu bom ikan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 November 2019 lalu.

Menurutnya, aktiviti itu amat membimbangkan kerana bukan sahaja bom ikan boleh hidupan marin tetapi juga keindahan dan tumbuhan semulajadi di dasar laut perairan.

“Oeh itu saya menggesa pihak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas untuk membendung perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Katanya para pemimpin masyarakat di kawasan yang sering berlaku aktiviti bom ikan perlu dipanggil dan diberi penerangan dan pendidikan tentang pentingnya peranan dan tanggungjawab bersama menjaga sumber laut dan membanteras aktiviti negatif itu. – SabahNewsToday