Pilih Bahasa

Kerajaan negeri peruntukkan RM10,000 kepada 36 usahawan sertai 1BTC

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada seramai 36 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk jualan untuk membuka kiosk perniagaan di Pusat Dagangan dan Pelancongan (1BTC) di 1Borneo Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Madius Tangau berkata langkah itu sebagai galakkan buat para usahawan memasarkan produk mereka secara langsung kepada orang ramai.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Madius Tangau ketika melawat Pusat Dagangan dan Pelancongan 1Borneo (1BTC) di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Madius, apa yang dilakukan kementeriannya itu adalah untuk membantu sebilangan usahawan dalam menangani isu premis perniagaan bagi menjalankan aktiviti perniagaan.

“Saya difahamkan Pusat Dagangan dan Pelancongan pusat beli belah 1Borneo setakat ini akan menempatkan sekurang-kurangnya 36 usahawan yang mengeluarkan produk berdaya saing untuk dipasarkan kepada pelancong tempatan dan luar negara pada kadar sewa minima.

“Saya percaya dengan usaha wanita Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Sabah yang diketuai oleh Ketuanya, Anne Sidik yang memberikan idea North Atrium 1Borneo sebagai tempat perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Pusat Dagangan dan Pelancongan 1Borneo (1BTC) di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Madius turut memuji Perdasama, United 1Borneo Hypermall dan Jamilah OneStop Souvenir dalam mewujudkan 1BTC pada kali ini.

Setakat ini sebanyak 15 peniaga PKS telah mendaftar untuk mengikut program perniagaan di bawah kendalian Perdasama.

“Kita memberikan tempoh dua minggu untuk Perdasama mencari baki usahawan tempatan bagi melengkapkan jumlah senarai 36 peniaga di 1BTC nanti.

“Para usahawan sangat bertuah dapat memasarkan produk ke kedai Jamilah seluas 10,000 kaki persegi itu kerana beliau berpengalaman berniaga selama lebih 30 tahun dan memiliki seramai 200 pembantu, jadi rebutlah peluang itu,” katanya.

Mengenai karnival itu, Madius berkata beliau kagum dengan usaha ketiga-tiga pihak itu kerana berjaya mengadakan program tersebut. – SabahNewsToday