Pilih Bahasa

Kerajaan negeri pimpinan Warisan umum RM500 bonus Raya bagi 21,021 kakitangan negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah mengumumkan bonus sebanyak RM500 kepada semua 21,021 penjawat awam negeri termasuk anggota Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bonus raya itu akan membabitkan jumlah peruntukan RM10.5 juta dan akan dibayar dalam masa terdekat sebelum sambutan Hari Raya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di Menara Tun Mustapha dekat sini hari ini.

“Walaupun keadaan kewangan kerajaan negeri tidak ‘berapa sihat’, kita tetap mahu meringankan beban anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

“Saya congak-congak…duit tidak banyak tapi tidak apalah, kita akan cari duit untuk pastikan perkhidmatan awam dapat sedikit bonus,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengingatkan kakitangan kerajaan agar bonus berkenaan dibelanjakan untuk kebaikan musim perayaan.-SabahNewsToday