Pilih Bahasa

Kerajaan negeri rancang tambah jumlah kontena bagi tujuan eksport

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINBALU: Kerajaan negeri merancang mempertingkatkan jumlah penggunaan kontena bagi tujuan eksport dalam usaha menarik perhatian syarikat perkhidmatan penghantaran barangan utama ke Pelabuhan Teluk Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata setakat ini Sabah hanya mencatatkan sebanyak 300,000 kontena yang keluar daripada negeri berkenaan bagi jangka masa setahun.

Madius semasa sidang akhbar. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Madius berkata jumlah terbabit dilihat masih sedikit memandangkan Sabah mempunyai banyak produk tempatan berkualiti serta menarik yang diusahakan oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah.

“Kita mahu tambah bilangan kontena keluar daripada negeri ini kepada 500,000 setahun.

“Pertambahan itu secara tidak langsung memangkin kita untuk turut sama tingkatkan pengeluaran produk tempatan daripada negeri ini.

“Sekiranya kita tidak dapat menambah bilangan kontena untuk jangka masa setahun, Sabah tidak akan mampu berjaya menarik perhatian syarikat perkhidmatan penghantaran barangan utama untuk berdaftar di Pelabuhan Teluk Sepanggar.

“Jika mereka tidak datang dan daftar di sini, semua yang membawa barangan daripada negeri ini terpaksa pergi ke Pelabuahan Klang walaupun dasar cabotage sudah dimansuhkan sebahagiannya,” katanya ketika sidang media berkaitan penyertaan usahawan Sabah ke tiga ekspo keusahawanan di Sarawak, Brunei dan China.

Bakal disertai 44 syarikat usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah, tujuh syarikat daripada jumlah itu akan menyertai Ekspo Makanan Antarabangsa Weihai ke 10 dan Ekspo Komoditi Korea-China di China pada 20 hingga 24 Jun ini manakala 16 lagi syarikat akan mengikuti ‘The 23 Consumer Fair’ bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Berakas, Brunei Darussalam pada 26 hingga 30 Jun.

21 syarikat tempatan lainnya pula akan menyertai Ekspo SME dan Timer 2019 di Pusat Dagangan Dunia Borneo Kuching (BCCK), Sarawak bermula 27 sehingga 30 Jun hadapan.

Dalam pada itu, Madius berkata penting bagi usaha menarik syarikat perkhidmatan penghantaran barangan utama atau ‘main line shipping operator agar mampu meletakkan Pelabuhan Teluk Sepanggar ‘transhipment hub’ atau hub pindah kapal suatu hari nanti.

“Saya juga baru berbincang dengan beberapa pegawai kanan daripada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI) termasuklah Ketua Setiausaha MITI ketika lawatan Menteri Perindustrian China ke Sabah, baru-baru ini.
 
“Kita menekankan perkara ini dan MITI akan mengadakan mesyuarat bersama semua agensi berkaitan termasuklah Kementrian Keangan serta Kementerian Pengangkutan bagi menangani cabaran Sabah untuk tarik operator perkapalan.

“Ini antara faktor yang menyumbang kepada kos pengangkutan perniagaam yang tinggi. Selagi kita tidak ada perkapalan membawa barangan terus daripada negeri ini ke pasaran, situasi sama tetap akan terus berlaku,” katanya. -SabahNews Today