Pilih Bahasa

KERAJAAN NEGERI SEDIA BANTU PEMBEBASAN RAKYAT SABAH YANG DITAHAN DI KEMBOJA: MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kiri) bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (kiri) menyampaikan ‘Ang pow’ kepada warga emas sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar di BSA Kolombong. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

INANAM: Kerajaan negeri bersedia membantu pihak berkuasa negara ini untuk membebaskan tiga rakyat Sabah yang ditahan di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sehubungan itu kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Wisma Putra dan berhubung dengan Kementerian Luar berhubung penahanan tersebut.

Mohd Shafie (tengah) menerima cenderahati daripada Mohd Azis selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Sepanggar di BSA Kolombong. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya perlu mendapatkan butiran lanjut punca sebenar mereka ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja. Justeru apa juga keperluan yang dapat kita berikan, kerajaan negeri akan bantu.

“Di samping itu kerajaan negeri akan berkomunikasi dengan pihak berkuasa yang berkaitan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar di Borneo Sports Arena, Kolombong di sini hari ini.

Mohd Shafie (tengah) bersama barisan Kabinet negeri memukul gong sebagai gimik pelancaran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Sepanggar. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penahanan tiga rakyat Sabah di Kemboja sejak 11 Disember lalu dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pekerjaan.

Seramai 47 rakyat Malaysia yang berusia 19 hingga 44 tahun itu ditahan di penjara wilayah Banteay Mancheay yang terletak 446 kilometer dari Phnom Penh.

Mohd Shafie (kanan) bersama Mohd Azis ketika hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Sepanggar di BSA Kolombong. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mereka dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi yang menawarkan pekerjaan sebagai jurujual barangan elektronik dengan gaji dibayar dalam dolar Amerika Syarikat.

Difahamkan Wisma Putra sedang bekerjasama dengan kerajaan Kemboja untuk membebaskan kesemua rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian.

Dalam pada itu Mohd Shafie turut mengesahkan kerajaan negeri belum menerima sebarang maklumat terbaharu daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai keadaan rakyat Sabah yang ditahan itu. – SabahNewsToday