Pilih Bahasa

Kerajaan negeri serius tangani isu PTI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan kerajaan negeri serius dalam menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Beliau memberitahu pengurusan proses pengusiran PTI bagi negeri itu dari 1990 hingga 8 November 2019 mencatatkan seramai 587,443 orang telah diusir ke negara asal mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Pada 2019 iaitu sehingga 8 November lalu sebanyak 80 kali penghantaran pulang dilakukan oleh kerajaan melibatkan seramai 9,419 PTI.

“Bagi memperkemaskan lagi urusan pengusiran PTI di Sabah pihak kerajaan dengan kerjasama kedutaan Filipina dan konsul Indonesia telah berusaha agar urusan dokumentasi PTI dapat dipercepatkan bagi membolehkan pengusiran dilakukan pada kadar segera,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau demikian sebagai menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) apakah usaha kerajaan terini dalam menangani kebanjiran PTI di Sabah serta berapakah jumlah yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) ketika ini.

Bolkiah turut bertanyakan mengenai bilakah kerahaan negeri mengadakan operasi besar-besaran bagi menjejaki dan menghantar balik PTI ke negara asal mereka.

Mohd Shafie berkata ketika ini semua PTS di Sabah sesak dengan jumlah tahanan mencecah sehingga 7,463 orang di empat buah PTS sehingga 8 November lalu.

Sungguhpun demikian, katanya operasi menjejaki dan menangkap PTI sentiasa diteruskan oleh agensi berkaitan dalam skala kecil.

Jelas beliau lagi sebanyak 6,018 operasi bersepadu telah dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara dan Negeri Sabah (MKN) Esscom, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Namun katanya kerajaan sedar bahawa masalah PTI tidak mampu dibendung sepenuhnya dengan menggunakan kaedah menangkap dan mengusir semata-mata.

Sehubungan itu, perlu ditegaskan bahawa usaha membendung kebanjiran PTI tidak mampu dicapai dengan sekelip mata dan ia juga tidak terletak pada bahu pihak kerajaan terutama agensi keselamatan secara total kerana memerlukan penglibatan serta kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk orang awam.

Berhubung pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang akan dilaksanakan berkuatkuasa pada 1 Jun 2020, Mohd Shafie berkata langkah itu bertujuan menyeragamkan kepelbagaian dokumen dimiliki dimiliki oleh warga asing di Sabah.

Katanya keseragaman dokumen ini dilakukan bagi memudahkan pengecaman dan operasi oleh pihak agensi penguatkuasaan. – SabahNewsToday