Pilih Bahasa

Kerajaan negeri sokong usaha tangani tipuan bida

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) agar kegiatan tipuan bida dalam prosedur perolehan awam dapat ditangani.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebarang tindakan yang diambil oleh MyCC adalah untuk memastikan perjalanan perniagaan dan perdagangan negara dapat disusun atur sebaik mungkin dan adil.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Menurutnya ketegasan kerajaan itu bukan bersifat kejam atau mahu menghukum semata-mata tetapi ia bertujuan memastikan wujud kebergantungan antara pembekal dan pembeli tanpa satu pihak sahaja yang mendapat untung berlebihan.

“Kalau kita tidak ikut peraturan dan disiplin maka kita tidak akan dapat meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita sedar bahawa kerumitan dunia perdagangan memang ada, macam-macam yang berlaku tetapi ia memerlukan pengurusan yang baik dan dinamik,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Tipuan Bida dan Pematuhan Persaingan di sini hari ini.

Seminar anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Dalam majlis itu Mohd Shafie turut melancarkan laman sesawang MyCC serta Sistem e-Pembelajaran Pematuhan Persaingan yang telah diperbaharui dan ditambahbaik.

Mengenai seminar itu beliau berkata program itu dapat memberikan kesedaran dan pemahaman lebih mendalam kepada kakitangan awam berkaitan kegiatan tipuan bida di negara ini. – SabahNewsToday