Pilih Bahasa

Kerajaan negeri tumpu pembangunan menyeluruh: Jaujan

Oleh Zakaria Damit

Jaujan (tengah) dalam lawatan ke Nabawan perasmian PBT Hijau. – Gambar SNT/Ihsan KPKT

NABAWAN: Pembangunan daerah Nabawan ke arah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hijau berada dalam landasan tepat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata walaupun terdapat cabaran yang perlu ditempuhi ia mampu di atasi dengan kerjasama semua pihak dalam Majlis Daerah Nabawan serta para ahli majlisnya.

“PBT hijau Nabawan akan direalisasikan dalam usaha membantu rakyat tempatan di sini meningkatkan ekonomi masing-masing.

“Selepas Tongod, Nabawan adalah daerah kedua dijadikan PBT hijau. Kita bukan sahaja mahu bangunkan pembangunan fizikal tetapi ingin seimbangkan dengan alam persekitaran,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Nabawan sempena program persediaan PBT Hijau di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan mempunyai tanggungjawap bagi memastikan pembangunan di sesuatu daerah agar ia dinikmati masyarakat setempat.

Dalam pada itu katanya rakyat setempat juga perlu memainkan peranan dengan terlibat secara langsung dalam pembangunan PBT hijau ini.

“Kita tidak mahu rakyat hanya mampu melihat sahaja tetapi mahu mereka turut terlibat sama khususnya dalam menjana ekonomi. Kita di kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan dari segi mewujudkan industri inap desa, pelancongan serta perniagaan.

“Inilah antara peluang yang bakal kita sediakan kepada masyarakat setempat apabila PBT hijau direalisasikan nanti,” katanya.

Jaujan (tengah) dalam sidang media selepas perasmian PBT hijau di Nabawan. – Gambar SNT/Ihsan KPKT

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata Nabawan mempunyai khazanah alam semula jadi yang kaya dan tumbuhan mempunyai nilai tinggi di sini berpotensi dikomersialkan seterusnya menjana pendapatan kepada penduduk di sini.

Sementara itu dalam ucapannya beliau menjelaskan kerajaan hari ini akan membangunkan semua daerah di Sabah tanpa hanya memberikan tumpuan kepada daerah yang sudah membangun.

“Kita juga perlu orang-orang kampung…jangan hanya menumpukan pembangunan di bandar tetapi daerah di luar bandar juga perlu dibangunkan.

“Saya mencadangkan agar sumber tempatan dijadikan hasil ekonomi agar ia mampu dijadikan sebagai identiti tempatan.

“Identiti ini mampu menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk datang melihat sendiri keunikan produk atau barangan yang terdapat di sini,” katanya. – SabahNewsToday