Pilih Bahasa

Kerajaan Negeri umum Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berjumlah RM670 juta

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan 15 langkah yang di bawah Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berjumlah RM670 bagi meringankan beban dan kesulitan hidup pelbagai lapisan masyarakat yang telah terjejas oleh wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pakej tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan, Bantuan Kepada Rakyat Yang Terjejas dan Memperkukuh Perniagaan serta Menambahbaik Kualiti Infrastruktur dan Kemudahan Asas Luar Bandar.

Mohd Shafie mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 dan bersama beliau adalah barisan jemaah menteri Sabah di PPNS di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Langkah yang diambil bagi Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan ialah pertama, menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi membiayai perbelanjaan kecemasan Covid-19.

Mohd Shafie berkata kerajaan amat menghargai komitmen dan pengorbanan mereka yang bertugas di barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan dan pegawai imigresen dalam melindungi negara dan negeri Sabah daripada penularan wabak Covid-19.

“Bagi memastikan golongan tersebut mempunyai bekalan barangan guna
pakai dan peralatan yang kritikal dalam menjalankan tugas mereka
seperti face masks, hand sanitiser serta pakaian pelindung, kerajaan
negeri menyediakan Peruntukan Khas berjumlah RM50 juta untuk
tujuan tersebut.

“Ini amat penting dalam memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal dan dibendung penularannya dengan berkesan,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman Pakej Bantuan Covid-19 Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan RM10 juta untuk bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas di barisan hadapan yang terdiri daripada para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan; pegawai-pegawai imigresen; Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia; Esscom; Angkatan Polis Marin dan juga Rela.

Katanya kerajaan negeri amat tersentuh dan mengambil perhatian ke atas komitmen para petugas di barisan hadapan yang bekerja, menggalas tugas dan tanggungjawab tanpa henti dalam membantu melaksanakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Tidak dilupakan adalah bantuan kepada rakyat menerusi peruntukan RM20 juta kepada golongan yang terjejas secara langsung oleh wabak Covid-19.

“Kita juga menyedari bahawa terdapat golongan yang telah
terjejas secara langsung oleh wabak Covid-19 dan sebagai tanda keprihatinan, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk meringankan kesulitan hidup yang dihadapi golongan terbabit.

“Ini termasuklah RM18 juta untuk bantuan keperluan bahan makanan di kawasan kampung di Sabah yang terjejas. Sebanyak RM2.0 juta lagi adalah untuk membantu dan meringankan masalah kewangan dalam menampung keperluan harian, termasuk makanan yang dihadapi oleh para pelajar di Sabah dan di Semenanjung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk elaun bantuan khas kepada golongan miskin dan miskin tegar di Sabah yang turut terjejas oleh wabak Covid-19.

Mohd Shafie berkata bagi meringankan kesulitan yang dihadapi golongan
tersebut dalam menampung keperluan harian dalam masa yang susah ini, kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberikan bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one-off” kepada Ketua Isi Rumah Miskin dan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Katanya bantuan itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka akan memberikan faedah kepada 22,456 Ketua Isi Rumah Miskin dan 15,747 Ketua Isirumah Miskin Tegar di seluruh Sabah.

Sementara itu, untuk golongan berpendapatan rendah B40, sebanyak RM80 juta diperuntukan kepada mereka termasuklah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung (dianggarkan seramai 30,000 orang), pemandu teksi (13,132 orang); petani atau pekebun kecil, nelayan dan penternak (169,630 orang), ‘porter’ dan malim gunung (339 orang) serta warga tua, anak yatim, orang kurang upaya (62,638 orang) dan ibu tunggal (6,500 orang) di seluruh Sabah.

“Mereka ini akan diberikan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM300 seorang dalam mana kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta untuk maksud tersebut.

“Kerajaan negeri juga telah bersetuju supaya cukai tanah yang dikutip oleh Jabatan Tanah dan Ukur dikurangkan sebanyak 30 peratus bagi tahun 2020. Pengurangan ini dijangka akan memberi faedah kepada 232,774 individu, syarikat (9,184) dan 402 selebihnya dalam berbagai kategori yang lain.

“Bagi mereka yang telah menjelaskan cukai tersebut untuk tahun 2020, maka rebat pembayaran akan diberikan pada tahun hadapan iaitu tahun 2021.

“Cukai Pintu yang dipungut oleh Dewan Bandaraya kota Kinabalu (DBKK) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula akan dikurangkan sebanyak 20 peratus dalam tahun ini.

“Langkah tersebut dijangkakan akan memberikan faedah kepada 97,641 pembayar cukai pintu di Kota Kinabalu dan 221,470 pembayar di kawasan PBT yang lain. Sekiranya pembayaran cukai sudah dibuat, maka rebat akan diberikan pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata pengecualian bayaran lesen penjaja termasuk pembayaran fi penjaja kecil tanpa lesen oleh kesemua Majlis Daerah untuk tahun ini.

Pengecualian itu, katanya dijangka akan membantu seramai 26,227 penjaja di seluruh Sabah manakala rebat akan diberikan pada 2021 kepada penjaja yang telah membuat pembayaran untuk tahun ini.

Di samping itu, pengecualian bayaran bil air untuk tempoh tiga bulan dikenakan bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat pada keseluruhannya.

Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengecualikan pembayaran bil air kepada semua pengguna air domestik untuk tempoh tiga bulan bermula April ini yang melibatkan 335,000 pengguna.

Langkah kerajaan negeri seterusnya ialah menambah dua peratus kepada 28 peratus diskaun yang diberikan persekutuan menjadikan jumlah diskaun ke atas bil elektrik sebanyak 30 peratus untuk tempoh tiga bulan bermula April ini.

“Pemberian diskaun ini akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM11.5 juta sebulan atau RM35.65 juta untuk tempoh tiga bulan.

“Langkah ini dijangka akan memberi manfaat kepada 512,000 pengguna atau bersamaan sekitar 98 peratus pengguna tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Labuan,” katanya.

Mohd Shafie memberitahu kerajaan negeri juga memberikan pengecualian kepada peserta Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada membayar sewa untuk tempoh enam bulan mulai April bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah-rumah Program Perumahan Rakyat di seluruh Sabah.

Katanya inisiatif itu memberikan faedah kepada 20,080 isi rumah dan seramai 110,400 orang yang melibatkan kos RM21.1 juta.

Tambah beliau lagi, pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan telah menjejaskan pembayaran elaun bulanan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah.

Maka itu, katanya dalam masa yang sukar ini, kerajaan negeri mengambil langkah pro-aktif untuk memastikan MPKK terus menerima elaun mereka.

“Kerajaan negeri akan memperuntukan sebanyak RM30 juta untuk tujuan membayar elaun MPKK bagi tempoh 10 bulan akan datang, termasuk bulan Mac, 2020.

“Langkah ini akan memberikan faedah kepada 2,315 MPKK di seluruh Sabah. Pada masa sama, kesemua pekerja bergaji hari, lantikan kerajaan negeri yang tidak dapat bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga akan dibayar gaji sewajarnya.

Terdapat beberapa langkah diperkenalkan kerajaan negeri bagi memperkukuh perniagaan serta menambahbaik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar.

Mohd Shafie menjelaskan tidak dilupakan peruntukan RM40 juta untuk Skim Kredit Mikro bagi peniaga kecil yang terjejas dalam suasana yang sukar ini.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta di bawah Dana Kredit Mikro Sabah dengan kadar faedah yang rendah sebanyak dua peratus.

“Penyediaan dana melalui Perbadanan Pinjaman Sabah ini dijangka akan membantu sekitar 20,000 peniaga kecil di seluruh Sabah.

“Sebanyak RM200 juta pula disediakan untuk menambahbaik infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar dan peruntukan ini untuk pelaksanaan 1,000 buah projek di kampung dalam kawasan DBKK; Majlis Perbandaran Sandakan; Majlis Perbandaran Tawau dan kesemua daerah, termasuk daerah kecil di seluruh Sabah.

“Projek kecil yang akan dilaksanakan ini akan menumpu kepada usaha menambahbaik kualiti dan liputan infrastruktur dan kemudahan asas di di luar bandar Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM50 juta disediakan oleh kerajaan negeri untuk Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah (Sabah SME Fund) yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Mohd Shafie berkata dana itu menawarkan pinjaman dengan kadar faedah serendah 3.5 peratus. – SabahNewsToday