Pilih Bahasa

KERAJAAN NEGERI YAKIN STATUS SABAH SARAWAK KEPADA WILAYAH DIBAHAS DI PARLIMEN

Oleh Alfred Petrus

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie (dua kanan) bersama-sama tetamu kehormat lain termasuk Adun Tanjung Aru, Datuk Junz Wong (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew (kanan) menyempurnakan acara melambung Yee Sang. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin Kerajaan Persekutuan akan membahaskan usul di Parlimen bulan depan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bagi membincangkan berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini.

Mohd Shafie (tengah) turun menyampaikan ‘ang pow’ kepada orang awam yang hadir pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Tanjung Aru. – Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sebahagian perkara yang kita bangkitkan adalah berhubung kait dengan status kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah Wilayah.

“Saya yakin bahawa Kerajaan Persekutuan sudahpun meluluskan tentang perkara itu yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Ia tidak memerlukan proses pengundian kerana semua yang perlu dilakukan adalah untuk mengubal Perlembagaan bagi memastikan Sabah dan Sarawak menikmati status yang sama dengan Semenanjung,” katanya selepas merasmikan Majlis Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru di sini hari ini.

Ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkenaan isu tersebut, Mohd Shafie berkata hal tersebut juga memerlukan masa untuk mengembalikan hak berkenaan.

“Jangan pula kita nanti kelam-kabut. Kita tahu, 60 tahun kita tunggu, tapi Perdana Menteri sudahpun memberi ruang untuk kita berbincang dan beliau juga membantu kita.

“Saya harap semua akan menyokong agenda ini,” jelasnya. -SabahNewsToday