Pilih Bahasa

Kerajaan negeri yakin usaha dapatkan hak Sabah di bawah MA63 diteruskan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin usaha menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal diteruskan sama seperti sudah dipersetujui Kabinet persekutuan sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara terbabit sudah dipersetujui Kabinet persekutuan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Shafie (empat dari kanan) meletakkan tangan ke atas bola LED sebagai simbolik perasmian Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Perdana Menteri sekarang turut menghadiri mesyuarat itu dan kerajaan dahulu serta jemaah menteri telah bersetuju.

“Persetujuan Kabinet itu juga sudah diumumkan dan saya yakin kita boleh meneruskan isu tuntutan ini untuk kepentingan rakyat,” katanya sewaktu ditemui media selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020 di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Mohd Shafie meninjau alat bantuan perubatan yang dipamerkan di Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020 di Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah keadaan politik semasa akan membantutkan tuntutan Sabah melalui MA63.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran karnival berkenaan, Mohd Shafie berkata acara seumpama itu dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kesihatan.

Mohd Shafie meninjau tapak pameran selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Dalam pada itu, mengenai kemunculannya dalam acara kesihatan terbabit, Mohd Shafie berkata kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan.

“Ini demi kesihatan rakyat. Kita tidak boleh banyak berpolitik. Tidak akan ada pengundi jika rakyat kita sakit.

“Keutamaan saya adalah kerajaan perlu memberi fokus dan mengekalkan keadaan yang ada sekarang.

“Sabah cukup stabil ketika ini dan tidak mahu kestabilan di negeri ini terjejas hanya disebabkan terlalu berpolitik,” katanya. –SabahNewToday