Pilih Bahasa

Kerajaan pastikan pembangunan negeri terancang dan sistematik

SEMPORNA: Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan pembangunan yang sedang dilaksanakan terancang dan sistematik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata perancangan yang memberi fokus jangka masa panjang itu sudah pasti merancakkan ekonomi sekaligus meningkatkan pendapatan negeri.

Jaujan menyampaikan bantuan kepada penerima pada Majlis Iftar Ramadan bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Warisan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulabaya, di sini pada Sabtu. Gambar SNT/Ihsan KTP

“Melalui perancangan ini, kita boleh menghapuskan tanggapan luar yang mengatakan Sabah kaya dengan sumber tetapi masih ramai rakyatnya hidup susah. 

“Cuma yang penting sekarang ialah pemikiran kita juga kena berubah … sekalipun ada perancangan tapi rakyat masih berfikiran ditakuk lama, mengharap kerajaan bagi bantuan, maka kita tidak dapat melahirkan produktiviti negara dari sudut meningkatkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Warisan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulabayan, di sini pada Sabtu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata sistem pentadbiran negeri juga masih dalam kajian dan penstrukturan semula sejak Warisan mengambil alih pucuk kepimpinan kerajaan terdahulu.

Katanya langkah itu akan melibatkan kajian semula peranan agensi- agensi yang kurang memberi pulangan kepada ekonomi negeri.

“Langkah awal ini kita laksanakan dengan  mengenal pasti potensi bagaimana untuk meningkatkan kedayaupayaan sektor atau syarikat- syarikat di bawah kerajaan negeri Sabah ini.

“Kerana kita tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada hasil yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan juga hasil kutipan di peringkat negeri ini,” katanya.

Tambahnya, meningkatkan kebolehpasaran syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  juga menjadi fokus utama disebabkan kemampuan agensi ini yang boleh daya saing dalam meningkatkan potensi keuntungan melalui perniagaan.

Selain itu, Jaujan berkata pembangunan komprehensif dan seimbang antara luar bandar dan bandar turut diberi penekanan supaya kedua-dua kawasan ini menerima nikmat pembangunan yang sama rata.

Katanya bukan setakat pembinaan rumah, sekolah dan kemudahan asas lain, malah kerajaan kini dalam usaha menarik pelabur untuk membina pelbagai kilang industri di negeri ini.

“Bila sudah ada kilang yang banyak, maka tanah-tanah yang ada dapat kita bangunkan dengan membina perumahan mampu milik..Jadi akhirnya masalah penghijrahan dan setinggan dapat dikurangkan.

“Inilah pendekatan yang kita buat sekarang bagi mengurangkan pengangguran, sekaligus meningkatkan pemilikan rumah serta pendapatan rakyat di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kesedaran mengubah pemikiran rakyat di takuk lama juga perlu seiring dengan pembangunan yang sedang dirancang bagi memanfaatkan semua hasil kekayaan semula jadi yang ada.

Katanya rakyat perlu berubah yang tidak hanya berperanan sebagai pengimport hasil semula jadi seperti kayu balak, kayu kayan dan sebagainya untik mendapat hasil pendapatan, tetap perlu berfikiran kritis menjadi pengeksport pengeluaran hasil hiliran itu.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku. Jika kita sudah ada kesedaran dan kemahiran sudah tentu kita tidak lagi jadi pengimport tetapi pengeksport dengan mewujudkan banyak kilang memproses kayu kayan dan hasil lain.

“Akhirnya dari segi tukaran mata wang, nilai wang kita akan semakin tinggi sebab kita dapat jualan barangan belian dari luar dan wang masuk ke dalam negara kita.

“Jadi, kita perlu berusaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam pelbagai profesion bagi memenuhi sebahagian tuntutan pelabur sekiranya mereka datang ke sini,” katanya.

Terdahulu, seramai lebih 300 orang yang hadir pada majlis berbuka puasa itu menerima bantuan duit raya dan barangan berupa keperluan harian.-SabahNewsToday