Pilih Bahasa

Kerajaan pastikan Pulau Banggi kecapi kemajuan

KUDAT: Kerajaan negeri akan memastikan Pulau Banggi, pulau terbesar di Malaysia yang terletak di utara Sabah akan mengecapi pembangunan seiring dengan kawasan lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata masalah seperti jalan raya, bekalan air, pendidikan dan lain-lain akan diatasi.

Jaujan (empat kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang  mangsa kebakaran, turut kelihatan ialah George (kiri), Ben (dua kiri)  Mohammad (empat kanan) semasa majlis tersebut. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Saya akan pastikan pulau ini mengalami perubahan positif, bagaimanapun semua masyarakat di sini perlu memberikan kerjasama penuh kepada pemimpin di isni.

“Dalam lima tahun ini saya mahu Banggi lebih baik dari Pulau Bum Bum,” katanya di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (Dun) Banggi, di sini pada Isnin

Katanya Banggi juga setaraf seperti Sipadan dan lain-lain pulau indah dalam negeri ini oleh itu usaha memperkenalkannya akan diperkasakan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata beliau akan memberikan sejumlah peruntukan untuk membangunkan industri kraftangan di Pulau Banggi.

“Sudah pasti sekiranya pihak berkaitan berjaya menarik pelancong ke sini, Kudat bakal menjadi tumpuan destinasi peranginan.

“Kita juga akan membuat satu balai bomba di pulau ini bagi memastikan keselamatan para penduduk di sini sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Perjalanan menggunakan feri ke Karakit, Pulau Banggi dari Kudat biasanya mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Sementara itu, Jaujan berkata Kudat mempunyai potensi pembangunan yang bernilai berbilion ringgit dan usaha ke arah perlaksanaan membangunkan bandar berkenaan sedang dalam perancangan.

“Berdasarkan sejarah ketika zaman kolonial British dahulu, ibu negeri Sabah adalah terletak di Kudat.

“Pada ketika itu, pihak kolonial sudah nampak potensi Kudat sebagai pemangkin ekonomi negeri ini, sejarah dagang China juga mula bertapak di Kudat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu tidak mempunyai alasan untuk tidak membangunkan kawasan ini yang mempunyai pelbagai potensi penjanaan ekonomi.

Hadir sama ialah Adun Banggi merangkap Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohammad Mohamarin, Pembantu Menteri Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew serta tetamu kehormat yang lain.-SabahNewsToday