Pilih Bahasa

Kerajaan perhalusi undang-undang lindungi hak, kepentingan orang asal Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menerima cenderahati daripada Madius sempena Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan JKM

PENAMPANG: Undang-undang sedia ada berhubung definisi, hak dan kepentingan orang asal akan diperhalusi bagi melindungi kepentingan masyarakat berkenaan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah memperhalusi undang-undang tersebut perlu bagi memperbaiki serta mengatasi beberapa kelemahan sedia ada.

“Selaku kerajaan negeri perkara ini telah diajukan dan dibawa kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan pakar undang-undang, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bagi meneliti perkara tersebut.

Mohd Shafie (empat dari kanan), Madius (tengah) dan Pairin (empat dari kiri) bersama para tetamu dan hadirin menunjukkan isyarat bagus sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Dewan Hongkod Koisaan. – Gambar SNT/Ihsan JKM

“Daripada kita menghabiskan masa berbahas mengenai hak dan kepentingan orang asal lebih baik kita bertindak mengatasi kelemahan dalam undang-undang sedia ada, ini lebih penting,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Hadir sama ialahTimbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak negeri, Datuk Aidi Moktar; Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mohd Shafie menjelaskan kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib dihadapi masyarakat orang asal yang majoritinya masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan pembangunan infrastruktur menyebabkan mereka terus terpinggir dan mundur.

Mohd Shafie memukul gong sebagai tanda perasmian Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Dewan Hongkod Koisaan, Penampang. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam lawatan ke beberapa daerah di bahagian pedalaman seperti Nabawan dan Pensiangan sebelum ini, beliau berkata usaha perlu disegerakan untuk membantu memajukan ekonomi masyarakat orang asal di situ yang masih ketinggalan.

Oleh itu katanya pelantikan Datuk Dr Richard Gunting sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) adalah tepat untuk membantu penduduk di daerah Pensiangan memajukan ekonomi mereka.

“Pelabur mungkin tidak berminat untuk melabur di Pensiangan dan Tongod kerana jauh di pedalaman, tetapi selaku kerajaan kita sendiri perlu memastikan supaya kita dapat membangunkan kawasan tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menyambut baik langkah pemindahan pusat pentadbiran Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan tidak lama lagi.

Menurut beliau pihaknya mengalu-alukan usaha republik itu seperti dinyatakan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sekaligus Sabah bakal menerima manfaat ekonomi daripada negara jiran itu. – SabahNewsToday