Pilih Bahasa

Kerajaan perlu giat buru dan usir PTI dari Sabah: Yakub

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri perlu telus dan bertekad untuk memburu Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan bukannya setakat untuk membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS) semata-mata.

Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan perlaksanaan PSS berkenaan pada Rabu.

Datuk Yakub Khan. Gambar Fail SNT

“Bukan setakat membatalkan cadangan perlaksanaan malah kerajaan perlu mempergiatkan usaha melalui badan berwajib untuk memburu, menangkap dan mengusir PTI ini dari bumi Sabah,” kata beliau ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

“PTI tersebut bukan hanya tertumpu kepada warga asing Filipina dan Indonesia sahaja tetapi juga dari negara-negara lain yang sewenang-wenangnya menetap tanpa dokumen di Sabah.

“Seperti yang kita ketahui terdapatnya warga China memasuki negara ini termasuk Sabah tetapi tiada rekod menunjukkan mereka sudah keluar dari sini.

“Kerajaan harus sedar bahawa isu PTI ini sangat meruncing dan hangat diperkatakan oleh rakyat pada ketika ini sehingga menimbulkan ketakutan serta menggusarkan,” jelasnya lagi.

Menurut Yakub pada masa yang sama, rakyat juga perlu mengetahui bahawa maksud PTI itu bukan hanya tertumpu kepada warga Filipina semata-mata tetapi juga yang datang dari Indonesia dan negara-negara lain seperti China, Taiwan, Nigeria, Afrika, Thailand dan sebagainya.

“Secara peribadinya,saya menyambut baik keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal berhubung perkara ini (Pembatalan PSS) kerana ianya pasti merupakan keputusan yang rakyat mahukan.

“Akan tetapi, ketelusan perlu juga ada kerana jika pembatalan itu bermaksud menunjukkan lain seperti hanya mengaburi mata rakyat, saya langsung tidak bersetuju dan akan menentang.

“Pemegang-pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung itu masih lagi dikatagorikan sebagai PTI dan mereka-mereka inilah yang perlu di hantar balik ke negara asal mereka termasuklah PTI yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” ujar Yakub lagi yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaysia.

Rabu lalu, Ketua Menteri Sabah dalam satu sidang akhbar mengumumkan pembatalan perlaksanaan PSS.

Kementerian Dalam Negeri dilaporkan bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Sabah.

PRK Kimanis baru lalu merupakan satu titik tolak ke arah pembatalan ini apabila Warisan tewas dengan majoriti 2,029 undi.

Sentimen Bantah PSS dan Tolak PSS merupakan sentimen paling hangat dalam kancah 14 hari kempen berlangsung mulai 4 hingga 18 Januari 2020 termasuklah beberapa siri Himpunan Bantah PSS yang dilangsungkan oleh sebuah badan NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai The Black Sunday. -SabahNewsToday