Pilih Bahasa

Kerajaan perlu pastikan kesejahteraan rakyat berterusan: Azizah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KIMANIS: Kerajaan hari ini wajar memandang serius masalah yang dihadapi oleh rakyat dan berusaha menyelesaikannya demi memastikan kesejahteraan berterusan dinikmati bersama.

Azizah (duduk, dua dari kiri) turut meluangkan masa melawat rumah penduduk yang sedang sakit cyst di Kampung Brunai, PDM Membakut. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Azizah Mohd Dun menegaskan adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk mengetahui masalah rakyat, mencari jalan penyelesaian dan membawa perubahan ke arah yang lebih baik.

“Inilah peranan kita sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, untuk menjadi suara rakyat dan bekerja untuk rakyat,”katanya ketika melawat kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Brunai di sini, semalam.

Ahli Parlimen Beaufort itu juga berkata Srikandi Bersatu Sabah akan terus berusaha mendekati rakyat dan mengetahui masalah khususnya mereka yang kurang berkemampuan atau memerlukan bantuan dari segi kesihatan.

Menurut Azizah lagi, Srikandi Sabah turut membantu mengenalpasti dan meringankan masalah dihadapi rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Membakut dan Bongawan.

Tambah beliau adalah wajar untuk semua pihak berganding bahu dan tenaga untuk turun padang membantu rakyat serta mencadangkan penyelesaian terbaik untuk mereka.

Dalam masa sama, Azizah menyeru penduduk Kimanis agar memilih calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 18 Januari ini
bagi memudahkan usaha kerajaan membawa pembangunan di kawasan tersebut.

Dun Membakut mempunyai 13,435 pengundi dengan sembilan pusat daerah mengundi meliputi 51 lokaliti Pusat Daerah Mengundi tersebut ialah Binsulok, Pimping, Brunei, Bandau, Membakut, Lumat, Mawao, Sinuka dan Dindong.

Dalam masa yang sama Srikandi Bersatu menjaga Dun Bongawan yang mempunyai 10 PDM dengan 12,706 pengundi.

Sepanjang PRK Kimanis, jentera Srikandi Bersatu negeri ini dengan dibantu jentera Srikandi Bersatu Kimanis bergerak dari rumah ke rumah bersama-sama dengan parti Warisan dan juga parti PKR. – SabahNewsToday