Pilih Bahasa

KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSETUJU KEMBALIKAN SESB KEPADA SABAH

Oleh Chris Maskilone

Yeo bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di PPNS pada Jumaat. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Putrajaya bersetuju menyerahkan semula hak penjanaan dan pengagihan kuasa elektrik sepenuhnya kepada Sabah.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sememangnya ditadbir sepenuhnya oleh Kerajaan negeri namun ianya dipindahkan kepada persekutuan apabila 80 peratus ekuiti syarikat utiliti tersebut diambil alih oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 1984.

Kerajaan Sabah memegang 20 peratus saham dalam SESB.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin menyerahkan sendiri surat pemberitahuan dari Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan dengan Mohd Shafie di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Yeo berkata keputusan tersebut telah dibuat Kerajaan Persekutuan pada penghujung tahun lalu.

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyerahkan semula hak penjanaan kuasa elektrik dalam semua aspek termasuk pentadbiran distribusi, penyambungan termasuk penentuan tarif kepada Sabah.

Peralihan dijangka akan mengambil masa dua tahun dan dua pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar, katanya.

Menurut Yeo, salah satu pasukan petugas khas tersebut mewakili Kementerian Kewangan dan satu lagi merupakan berkaitan teknikal.

Pasukan petugas khas ini akan membincangkan dengan lebih mendalam segala perkara berkaitan penyerahan semula hak kepada Kerajaan negeri, katanya.

“Kita berhasrat suatu hari nanti SESB akan berdaya mampan dengan model biaya yang baik, mengalami kurang kerugian daripada kecurian dan pengagihan bekalan yakni mempunyai sistem yang cekap,” katanya.

Walaubagaimanapun proses peralihan turut bergantung sepenuhnya kepada perundingan antara Kerajaaan Negeri dan Persekutuan, katanya lagi.

Menurut Yeo, Ketua Menteri menyambut baik keputusan Kerajaaan Persekutuan namun beliau berharap paling penting rakyat Sabah akhirnya akan mendapat keuntungan daripada langkah tersebut.

“Ketua Menteri berkata tidak ada gunanya mengembalikan SESB sekiranya langkah itu tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat di Sabah,” katanya.-SabahNewsToday