Pilih Bahasa

KERAJAAN PERSEKUTUAN DIGESA PERCEPATKAN PROSES PENURUNAN KUASA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses penurunan kuasa dan menunaikan janji Pakatan Harapan PRU14.

Wong berkata, dalam tempoh sepuluh bulan Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir sehingga kini, masih belum kelihatan kemahuan atau sebarang tindakan untuk menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan di Persidangan Parlimen petang kelmarin.

Datuk Stephen Wong menyampaikan ucapan bahas di Parlimen semalam. Gambar Fail SNT

Wong yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata sehingga hari ini, sebarang keputusan yang dibuat, mahupun dari segi dasar atau pelantikan tender dalam sesebuah projek yang berhubung dengan bidang kesihatan di Sabah, Kementerian Kesihatan di Sabah tidak dimaklum atau dirujuk.

“Permohonan untuk membina sebuah Pusat Hemodialysis di Inanam telah ditolak oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas alasan isu berhubung dengan zoning. Kini pesakit terpaksa dihantar ke Papar dan Beaufort, sekurang-kurangnya 100km dari Kota Kinabalu,” ujar beliau.

Beliau berkata ini ialah akibat kegagalan KKM mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada Kementerian Kesihatan di Sabah sebelum membuat keputusan yang berkaitan.

“Keperluan sebenar rakyat tempatan seharusnya diambil kira.

“Pusat ini adalah sebuah pusat swasta, kerajaan tidak perlu tanggung kos…dengan adanya pusat sebegini, ia tentu akan mewujudkan persaingan supaya rakyat dapat menikmati harga yang lebih kompetitif,” kata beliau.

Wong menegaskan bahawa, Sabah masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur khususnya kemudahan-kemudahan di hospital dan klinik, jurang nisbah doktor kepada populasi yang amat besar, dan kekurangan doktor pakar di Sabah.

“Kami perlukan lebih perhatian dan bantuan, kami perlu keikhlasan dari semua pihak khasnya kerajaan persekutuan untuk membantu pesakit-pesakit di Sabah,” tegas Wong.

“Saya juga telah menghantar dua surat yang bertarikh 10 Januari 2019 dan 25 Februari 2019 kepada Menteri Kesihatan Malaysia, tetapi tiada sebarang respon. Baru-baru ini, saya diberitahu oleh Menteri bahawa beliau langsung tidak menerima kedua-dua surat ini,” tambah Wong.

Beliau berharap hubungan kerjasama dan persefahaman diwujudkan di antara kerajaan Persekutuan dan negeri, agar dapat mencapai perubahan dan reformasi yang sebenarnya, dan seterusnya memanfaatkan rakyat.

Di samping itu, Wong juga memuji usaha dan tindakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana menyeragamkan cukai jalan bagi kenderaan komersial di Sabah dan Sarawak.

“Menteri Pengangkutan Kerajaan Baru berjaya menangani isu ini, hasil mendengar suara dan kesulitan rakyat Sabah,” kata Wong.

Selain itu, projek naiktaraf Lapangan Terbang Sandakan yang bakal dilaksanakan juga merupakan hasil Menteri Pengangkutan Anthony Loke merujuk kepada kerajaan negeri Sabah.

“Anthony Loke merujuk kepada kerajaan negeri Sabah dan mengambil kira kehendak dan kemahuan Sabah. Inilah Menteri yang rakyat inginkan. Ini adalah satu formula yang betul, inilah Malaysia yang baharu, saya harap kerjasama yang rapat sebegini dapat diteruskan,” tegas Wong.-SabahNewsToday