Pilih Bahasa

Kerajaan Persekutuan disaran wujud semula JPPS

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) berikutan kerajaan negeri kini berstatus pembangkang di peringkat Persekutuan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata JPPS pernah diwujudkan di Sabah semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah Sabah sebagai pembangkang.

Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan Mesyarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

Menurut beliau lagi dengan perkembangan politik mutakhir dan kerajaan Warisan Sabah kini adalah pembangkang, maka adalah wajar JPPS diwujudkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Katanya penubuhan JPPS amat penting sebagai instruments Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri.

“Bersatu Sabah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan segera mewujudkan JPPS bagi menjayakan segala program dan projek pembangunan yang disalurkan Pusat kepada Sabah.

“JPPS juga berfungsi sebagai wakil Kerajaan Persekutuan, perantara dan penghubung antara Persekutuan dan negeri seperti yang telah diwujudkan di Kelantan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga perlu mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah bagi memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di peringkat akar umbi.

Katanya, Sabah kini mempunyai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan perlantikannya masih dibawah bidang kuasa kerajaan Negeri, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembayaran elaun.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata, adalah menjadi amalan biasa peruntukan pembangunan Kerajaan Pusat tidak akan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dari parti pembangkang.

Beliau optimis, menerusi JPPS, Kerajaan Pusat dapat membantu membangun dan memajukan Sabah khususnya kawasan luar bandar yang masih ketinggalan merusi peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada JPPS.

“Kita tidak mahu rakyat dan negeri Sabah rugi dan menderita akibat peruntukan pembangunan tidak sampai kerana Kerajaan Sabah adalah pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya Upko dan PH Sabah kekal menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blok pembangkang dan tidak kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi Kerajaan Persekutuan.-SabahNewsToday