Pilih Bahasa

Kerajaan Persekutuan komited agih pembangunan di Sabah

KOTA KINABALU: Lawatan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) Republik Rakyat China, Miao Wei ke Sabah pada 12 hingga 14 Jun ini adalah isyarat jelas usaha Kerajaan Persekutuan untuk membawa masuk pelaburan berkualiti yang bermatlamat meluaskan pembangunan dan kemakmuran di Sabah.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Izwan Azir Saleh berkata usaha itu sememangnya menjadi antara fokus Datuk Darell Leiking sejak dipilih menerajui MITI hampir setahun lalu.

Izwan Azir Salleh. Gambar Fail SNT

“Sebagai anak Sabah pertama yang memimpin MITI, Datuk Darell telah beberapa kali melakukan lawatan kerja ke China samada dengan mengetuai delegasi MITI sendiri atau menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri dan pada setiap lawatan itu, Darell akan mencari potensi pelaburan untuk dibawa bukan sahaja kepada Malaysia secara am, tetapi juga kepada Sabah dan Sarawak secara khususnya.”

Dalam lawatan dua hari bermula Khamis ini, Menteri China itu akan meninjau beberapa lokasi yang menyediakan prospek pelaburan dari negaranya untuk dibangunkan di Sabah.

Antara lokasi yang akan dikunjungi Miao termasuk Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) dan Sabah Energy.

Selain itu, satu sesi meja bulat juga akan diadakan melibatkan MITI dan MIIT pada Jumaat dengan Miao akan diberi taklimat tentang perkembangan pelaksanaan Industri 4.0 atau Industry4WRD yang diperkenalkan kerajaan Oktober tahun lalu.

Darell turut dijadual melakukan perbincangan dua hala bersama Miao pada Khamis.

Beberapa pemain industri tempatan juga berpeluang memberi taklimat prospek usahasama di Sabah dan China dalam pertemuan meja bulat pada Jumaat – langkah yang dinilai bakal memberi perspektif pelaburan yang lebih baik bagi pelabur China ke Sabah.

“Sesi meja bulat ini akan menjadi suatu platform yang membolehkan situasi menang-menang, dengan pelabur tempatan berpeluang memasarkan kemampuan mereka untuk melabur di China dan delegasi negara itu juga mampu untuk melihat potensi pelaburan di Sabah yang bukan hanya membawa keuntungan ekonomi tetapi juga penciptaan peluang pekerjaan” tambah Izwan.

Eksport produk tempatan Sabah ke China menyusut tahun lalu berbanding 2017 dengan jumlah dagangan direkodkan RM 4.12 bilion melibatkan beberapa industri termasuk Petroleum Mentah, Minyak Sawit dan produk berasaskan Sawit, besi dan keluli serta produk kayu.

Manakala produk China yang diimport ke Sabah turut menurun tahun lalu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 2 bilion berbanding RM 2.2 bilion pada 2017 melibatkan beberapa sektor produk petroleum, Mesin, kelengkapan jentera dan produk kimia.

Keseluruhannya, China berada di kedudukan keempat dalam senarai perdagangan antara negara dan Sabah, dibelakang Singapura, India dan Australia dikedudukan pertama.-SabahNewsToday