Pilih Bahasa

KERAJAAN PERSEKUTUAN LULUS RM45,300 BANTU MANGSA KEBAKARAN PUTATAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew bertemu dengan mangsa kebakaran dalam khemah sementara sewaktu menyerahkan bantuan pada majlis berkenaan di Dewan Serbaguna Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Bencana Negara telah meluluskan permohonan bantuan wang ihsan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN) berjumlah RM45,300 kepada mangsa kebakaran daerah Putatan seramai 330 orang melibatkan 78 ketua isi rumah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata daripada sejumlah wang itu sebanyak RM500 diberikan kepada setiap ketua isi rumah dan barang persekolahan bernilai RM150 kepada seramai 42 pelajar bagi membantu meringankan beban akibat kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

“Kita amat bersyukur kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencara Negara telah meluluskan permohonan bantuan wang ihsan di bawah peruntukan KWABBN kepada mangsa kebakaran Putatan.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa insiden kebakaran besar melibatkan kebakaran rumah sering berlaku di Sabah.

“Justeru saya memohon kepada beliau (Dr Wan Azizah) agar mempertimbangkan permohonan pemberian bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa kebakaran di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa-mangsa Kebakaran Kampung Pasir Putih Putatan yang disampaikan Dr Wan Azizah di Dewan Serbaguna Putatan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan; Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Yahya Sulaiman dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari. 

Dalam pada itu Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Katanya kesudian Wan Azizah untuk hadir melapangkan masa ke program penyerahan itu amat bermakna dan dialu-alukan oleh kerajaan negeri.

Ujar Christina ia jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap rakyat negeri ini khususnya mangsa yang terjejas akibat bencana kebakaran. – SabahNewsToday