Pilih Bahasa

Kerajaan Sabah pastikan 50 peratus keluasan tanah negeri kekal hutan

KOTA KINABALU, 3 Dis — Dalam memerangi pembasmian hutan, Kerajaan Negeri Sabah mempunyai kewajipan memastikan kira-kira 50 peratus daripada kawasan tanah di negeri ini kekal sebagai hutan dan cukup untuk menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti kawasan legeh dan habitat untuk flora dan fauna.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keseluruhan hutan di Sabah pada penghujung 1980-an dianggarkan seluas 44,750 kilometer (km) persegi, 60.8 peratus daripada 73,631 km persegi keseluruhan keluasan tanah di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata pada 2010, kira-kira 37,600 km persegi atau 51 peratus daripada kawasan tanah di Sabah diliputi hutan.

“Purata pembasmian hutan pada kadar 0.75 peratus setahun dari 1990 ke 2010, bagaimanapun ia hampir separuh jika dibandingkan dengan 1980-an,” katanya semasa majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Kayu dan Gentian Bio 2019, di sini hari ini.

Ucapan Mohd Shafie disampaikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mampu mengekalkan keluasan hutan itu melalui pelaksanaan Dasar Hutan Sabah 2018 yang menetapkan sebarang pemansuhan hutan simpan perlu diganti dengan kawasan yang mempunyai keluasan sama atau lebih besar.

Beliau berkata selain hutan asli, Sabah juga mempunyai kawasan ladang hutan yang luas.

Sejak 2012, 226,000 ha ladang hutan diwujudkan di Sabah, dengan 55 peratus daripadanya ditanam dengan spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Persidangan selama dua hari itu dianjurkan oleh Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (Introp), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Timbalan Naib Canselor UPM, Prof Dr Zulkifli Idrus dalam ucapan aluannya berkata persidangan ini adalah satu platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara industri, penyelidik dan ahli akademik.

Beliau berkata penganjuran persidangan antarabangsa ini adalah satu inisiatif yang bijak untuk membawa bersama industri dan akademia bagi berbincang mengenai perkembangan terkini dalam kayu dan gentian bio, daripada topik pertanian huluan kepada hiliran seperti pemprosesan gentian dan kemajuan produk, juga kesan sosioekonomi daripada sumber bio ini.

— BERNAMA