Pilih Bahasa

KERAJAAN SABAH TERIMA RM7.23 JUTA BANTUAN BENCANA DI BAWAH KWABBN: WAN AZIZAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan cek replika Bantuan Bencana Kebakaran daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christine Liew pada majlis berkenaan di Dewan Serbaguna Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan telah memberikan bantuan bencana berjumlah RM7.23 juta di bawah peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN) kepada kerajaan Sabah melalui agensi pelaksana yang telah dilantik bagi membaiki atau membina semula pembangunan infrastruktur yang telah rosak di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerja membaiki infrastruktur itu termasuk untuk mangsa-mangsa kebakaran di rumah panjang Belantos, Nabawan dan projek penyusunan semula penempatan di Kampung Tanjong Kapor, Kudat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyempurnakan gimik simbolik penyerahan bantuan persekolahan kepada anak mangsa kebakaran pada majlis berkenaan di Dewan Serbaguna Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selain itu projek membaiki pembangunan turut meliputi pembinaan semula gerai-gerai di Kampung Tonsom, Langkon, Kota Marudu; titian pejalan kaki dan jalan konkrit di Kampong Pantai Bahagia, Kudat dan kerja pembaikan cerun di Pusat Tahanan Sementara, Kota Kinabalu.

“Selain itu, bagi membantu meringankan beban mangsa yang baru sahaja dilanda bencana (kebakaran), kerajaan Persekutuan juga memberikan bantuan wang ihsan.

“Bantuan ini merupakan sumbangan ikhlas dari kerajaan Persekutuan yang prihatin dan bertanggungjawab di atas nasib yang berlaku kepada mangsa-mangsa bencana di seluruh negara,” ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa-mangsa Kebakaran Kampung Pasir Putih Putatan yang disampaikan Wan Azizah di Dewan Serbaguna Putatan di sini hari ini.

Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyerahkan bantuan yang diberikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara kepada mangsa kebakaran di Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan; Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Yahya Sulaiman dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari. 

Wan Azizah berkata pada 2018, bantuan wang ihsan telah diberikan kepada seramai 4,186 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah terjejas akibat bencana di Sabah melibatkan peruntukan peruntukan sebanyak RM2.09 juta.

Katanya selain bantuan kepada mangsa kebakaran di Putatan, kerajaan turut menyalurkan bantuan sama kepada mangsa kebakaran di Kampung Kerakit Pulau Banggi, Kudat yang melibatkan seramai 312 orang mangsa daripada 77 KIR.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Pengurusan Bencana Negara, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM96,850 bagi pemberian bantuan wang ihsan serta bantuan keperluan persekolahan kepada mangsa-mangsa yang telah terlibat dalam kejadian kebakaran di Putatan dan Kudat,

“Bantuan ini bukanlah berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami oleh mangsa, sebaliknya merupakan sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban yang dialami mangsa,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menasihati agar semua pihak mengetahui punca kebakaran serta memastikan penyambungan elektrik dibuat dengan kaedah yang betul seperti yang ditetapkan oleh pihak berwajib agar kejadian kebakaran tidak akan berulang dan dapat dielakkan. – SabahNewsToday