Pilih Bahasa

KERAJAAN SASAR 26 JUTA KEDATANGAN PELANCONG TAHUN INI

Oleh Zakaria Damit

Mohamaddin bersama Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang mewakili Ketua Menteri disambut semasa ketibaan di Festival Sayangi Lahad Datu @ Silam di sini hari ini. Gambar SNT/Ehsan Kementerian Pelancongan

LAHAD DATU: Kerajaan menyasarkan 26 juta kedatangan pelancongan dengan pulangan pendapatan sebanyak RM89.4 bilion ke negara pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut pelbagai usaha sedang dijalankan termasuk mempromosikan kegiatan pelancongan serta pesta kebudayaan yang dianjurkan di seluruh negara ini.

Festival Sayangi Lahad Datu @ Silam mampu menjadi tarikan pelancong untuk datang ke negara. Gambar SNT/Ehsan Kementerian Pelancongan

Katanya, jumlah kehadiran pelancongan tersebut kemungkinan besar akan dapat dipertingkatkan lagi memandangkan Sabah adalah merupakan destinasi utama pilihan pelancong.

“Kita yakin salah satu usaha untuk mencapai hasrat tersebut iaitu penganjuran Festival Sayangi Lahad Datu @ Silam yang mampu menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke negara ini.

Antara para hadirin di Festival Sayangi Lahad Datu @ Silam yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi.Gambar SNT/Ehsan Kementerian Pelancongan

“Di samping itu, program festival ini akan membuka lebih banyak peluang serta ruang kepada pengiat seni dan budaya untuk menghasilkan karya mereka sekaligus mampu menambah pendapatan penggiat seni serta komuniti setempat akibat kesan limpahan pelaksanaanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Festival Sayangi Lahad Datu @ Silam 2018, di sini.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, mengambil contoh Lahad Datu yang sudah terkenal dengan pelbagai destinasi pelancongan terkenal termasuk Lembah Danum dan selamat untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Selain itu juga, lokasi pelancongan lain yang mampu menarik kehadiran pelancong iaitu Menara Kayangan, Taman hidupan liar Tabin, Air Terjun Madai yang merupakan destinasi penting untuk dikunjungi.

“Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya akan memastikan sektor pelancongan terus berada di hadapan berusaha melipatgandakan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong memilih Malaysia dan Sabah Am sebagai destinasi pilihan utama mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamaddin juga turut memuji penganjuran festival ini yang turut dimasukkan di dalam kalender tahunan kementeriannya bagi merancakkan lagi agenda penjanaan ekonomi penduduk setempat serta negeri Sabah amnya.-SabahNewsToday