Pilih Bahasa

Kerajaan sasar bantu UMS tingkat hubungan industri di peringkat antarabangsa

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Maszlee (tengah) bersama tetamu kenamaan lain dan golongan mahasiswa serta mahasiswi sempena Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan UMS

KOTA KINABALU: Kerajaan berazam membantu Universiti Malaysia Sabah (UMS) meningkatkan hubungan industri dengan membawa lebih banyak kerjasama di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata penting bagi UMS mengadakan kolaborasi bersama pihak antarabangsa dalam usaha membantu universiti berkenaan mengukuhkan nama serta pengaruh dipersada luar.

Maszlee berkata setakat ini UMS sudah menjalankan banyak kerjasama dengan beberapa universiti dari China dan pihaknya mahu usaha itu berterusan dari semasa ke semasa.

“Saya sendiri akan bersama pentadbir universiti untuk melakukan kerjasama termasuklah kolaborasi dengan pihak daripada Jepun dan Eropah.

“Kita yakin UMS mempunyai potensi untuk bergelar sebuah universiti terkenal serta berdaya saing, bukan sahaja peringat rantau Asia malah dunia.

“Kementerian juga yakin menerusi usahasama semua pihak terutama di bawah Naib Canselor UMS baharu, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin akan mampu melakukan lonjakan demi mencapai semua yang kita rencanakan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di sini, hari ini.

Maszlee ketika Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Berlangsung di Dewan Canselor UMS, sesi berkenaan dihadiri kira-kira 5,000 warga IPT termasuklah mahasis, mahasiswi dan ahli akademik.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Dalam pada itu, Maszlee menyatakan kementeriannya juga komited membawa lebih ramai pelajar daripada negara asian bagi belajar di UMS selain tekad menjadikan universiti terbabit mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi bagi semua graduan.

Sementara itu, beliau berkata UMS turut memiliki banyak potensi lain yang boleh diketengahkan termasuklah industri pelancongan.

“Universiti ini mempunyai kawasan alam semula jadi yang luas dan cantik sekaligus sesuai bagi pembangunan pusat pelancongan.

“Ia secara tidak langsung membuka banyak peluang pekerjaan khususnya buat mahasiswa dan mahasiswi di sini,” katanya. – SabahNews Today