Pilih Bahasa

KERAJAAN SEDIA KEMUDAHAN JALAN RAYA LEBIH BAIK UNTUK SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (dua dari kanan) bersama Syed Abas (tengah), Christina (dua dari kiri) dan Peter (kanan) memotong riben serentak sebagai simbolik acara perasmian jalan raya Nountun Bukit Padang. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kawasan luar bandar akan tetap diberikan keutamaan dalam pelan pembangunan infrastruktur terutama penyediaan jaringan jalan raya yang lebih baik untuk manfaat penduduk di kawasan berkenaan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa kemudahan asas tersebut akan terus dipertingkatkan meliputi semua kawasan di negeri ini kerana ia merupakan satu keperluan penting.

Mohd Shafie berkata usaha untuk mempercepatkan pembangunan jalan raya akan ditingkatkan kerana banyak lagi kawasan di luar bandar yang tidak mempunyai jalan raya.

Mohd Shafie (kanan) semasa berucap dalam majlis peramsian jalan by-pass Nountun Bukit Padang. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Ini merupakan satu langkah kerajaan dalam mempertingkatkan jalan raya kita, kalau di Kota Kinabalu pun memerlukan peningkatan daripada segi kemudahan jalan raya untuk mengatasi kesesakan, apatahlagi di pedalaman seperti Kota Marudu, Pitas dan Pensiangan.

“Sebenarnya jalan raya yang baik diperlukan bukan sekadar untuk menijimatkan masa malah lebih penting untuk manfaat ekonomi rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan jalan by-pass Nountun Bukit Padang di sini.

Jalan raya Nountun Bukit Padang yang dibina menelan belanja RM13 juta memudahkan pergerakan penduduk di kawasan itu terutama mengelak kesesakan lalu lintas. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Menurut Mohd Shafie, pembinaan jalan Nountun Bukit Padang dua lorong itu menelan belanja sebanyak RM13 juta menerusi peruntukkan kerajaan negeri membabitkan sepanjang 2.7 kilometer melibatkan kawasan perumahan Taman Khidmat dan Taman Nelly.

Katanya ia adalah salah satu daripada program peningkatkan sistem rangkaian jalan raya di seluruh bahagian Kota Kinabalu dan Penampang bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di laluan utama di dua kawasan tersebut.

“Syabas kepada Kementerian Pembangunan dan Infrastruktur dan saya harap tingkatkan kerja kita bukan hanya dari segi pembinaan tetapi juga pemantauan pelaksanaan projek-projek yang ada kerana manfaat perlu dirasai oleh golongan sasar.

“Kita kena pastikan segala kerja diteliti dengan baik, sama ada ia memenuhi spesifikasi ditetapkan sebab jika kualitinya baik kerja penyelenggaraan pun kurang dan kerajaan boleh berjimat serta kewangan yang ada boleh dibelanja untuk rakyat luar bandar,” ujarnya. – SabahNewsToday