Pilih Bahasa

Kerajaan sentiasa teliti keperluan usahawan B40

Oleh Alfred Petrus

Christina (depan tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta seminar berkenaan. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa meneliti keperluan para usahawan baik di bandar mahupun luar bandar melalui pelbagai kaedah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata oleh sebab itu kerajaan mengadakan pelbagai program bagi mengisi keperluan usahawan di negeri ini.

“Maka, dengan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan satu seminar anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.15 Api-Api bersama dengan agensi-agensi kerajaan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Seminar Usaha dan Niaga (PKS) golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) 2019, di Wisma Dang Bandang di sini hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata kerajaan sentiasa memikirkan cara meningkatkan pendapatan terutamanya golongan B40.

“Kita dapati golongan ini (B40) boleh digerakkan dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Seperti yang kita sedia maklum, Sabah mempunyai banyak sumber alam semula jadi yang belum digunakan dalam bidang perniagaan.

“Sumber-sumber tersebut termasuklah bersumberkan laut, perhutanan, perkebunan, pelancongan, kraftangan, makanan, peruncitan dan sebagainya,” jelasnya. – SabahNewsToday