Pilih Bahasa

Kerajaan serah kepada pihak berkuasa untuk dedahkan laporan penuh Tragedi Double Six

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mendedahkan laporan penuh tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan 11 orang termasuk lima menteri 43 tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata terdapat banyak permintaan daripada pelbagai pihak untuk mendedahkan kebenaran berkenaan insiden tersebut kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew merakamkan gambar bersama Toh Puan Rahimah Stephens dan ahli keluarga mangsa pada Majlis Memperingati Kejadian Double Six Kali Ke-43 di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Namun, jelasnya beliau akan menyatakan permintaan-permintaan tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat.

“Tetapi, ia terpulang kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan kes ini sama ada mereka mahu mendedahkan laporan berkenaan atau tidak.

“Insiden tersebut sudah 43 tahun lamanya dan saya percaya mereka mesti mempunyai alasan tertentu mengapa laporan itu tidak didedahkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Mohd Shafie bagi menyempurnakan Upacara Memperingati ‘Double Six’ di Tugu Peringatan ‘Double Six” Sembulan, hari ini.

Toh Puan Rahimah Stephens pada Majlis Memperingati Kejadian Double Six Kali Ke-43 di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebagai rekod, pada 6 Jun 1976, Ketua Menteri pada ketika itu iaitu Tun Fuad Stephens bersama dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Peter Mojuntin, Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan), Datuk Chong Tien Vun (Menteri Kerja Raya dan Komunikasi), Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri) serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu berangkat menghadiri jamuan rasmi dengan menaiki pesawat GAF Nomad buatan Australia dari Labuan ke Kota Kinabalu.

Namun, ketika menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pesawat tersebut telah terhempas di perairan Sembulan dan mengorbankan penumpang serta juruterbang pesawat terbabit iaitu Kapten Gandhi Nathan.

Turut terkorban, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Dr Syed Hussien Wafa, Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew menundukkan kepala pada Majlis Memperingati Kejadian Double Six Kali Ke-43 di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kejadian berlaku selepas 44 hari pelantikan Tun Fuad sebagai Ketua Menteri Sabah buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum pada 1976 apabila Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) yang diterajui beliau berjaya membantuk kerajaan menggantikan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Dalam pada itu, Christina berkata kerajaan akan sentiasa memperingati tragedi tersebut setiap tahun.

Katanya upacara memperingati ‘Double Six’ itu juga satu bentuk penghargaan terhadap pemimpin-pemimpin yang berjasa terhadap negeri namun terkorban dalam satu nahas yang tidak diingini itu.

“Kita berdoa bersama-sama agar isteri mendiang nahas berkenaan, Toh Puan Rahimah Stephens dan Datin Nancy Mojuntin berserta ahli keluarga mangsa lain sentiasa diberikan kesihatan,” katanya. -SabahNewsToday