Pilih Bahasa

KERAJAAN SERIUS BENDUNG KEGIATAN PENGGANAS: MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie Apdal. – Gambar File SNT

KOTA KINABALU: Penangkapan 13 individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas membuktikan bahawa kerajaan serius dalam memastikan aspek keselamatan di negara ini khususnya di Sabah terus terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyifatkan bahawa penahanan individu tersebut adalah kejayaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan kumpulan pengganas secara berterusan.

Menurut beliau dalam memastikan keamanan negeri ini sentiasa terjamin segala aspek berkaitan keganasan perlu dihapuskan dan semua pihak diminta bekerjasama serta berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa.

“Kerajaan negeri mengambil berat soal keselamatan terutama isu keganasan, justeru apabila ada maklumat risikan bahawa tindakan perlu diambil terhadap pihak terbabit keganasan (di Sabah), ia serta merta telah dilakukan.

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk memastikan saki baki kumpulan pengganas ini dapat ditangkap,” kataya kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan 13 individu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas di Semporna dan Tambunan pada 11 Mac lalu.

Terdahulu beliau merasmikan jalan by-pass Nountun Bukit Padang di sini petang tadi yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kumpulan terbabit ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjekn Sabah dan Unit 69 Komando.

Mohamad Fuzi berkata kesemua yang ditangkap berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan sama ada Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan pengganas Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF). – SabahNewsToday