Pilih Bahasa

Kerajaan seru Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersiap siaga hadapai banjir

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyeru Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir berikutan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Hashim Paijan itu sendiri diminta bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam sekiranya berlaku tanpa diduga.

Mohd Shafie bersalaman dengan orang ramai semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Sabah di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kita sudah arahkan kepada agensi berwajib untuk bertindak sama ada memberikan bantuan dalam bentuk bekalan makanan, tempat tinggal serta khidmat kesihatan.

“Aspek-aspek ini amat perlu disediakan demi keselamatan dan kesihatan mangsa bencana alam terbabit.

“Saya juga sudah maklumkan kepada SKN untuk panggil semua agensi berkaitan termasuklah sukarelawan yang ada di negeri ini,” katanya.

Keadaan banjir di Kepayan ketika hujan lebat baru-baru ini. Gambar Fail SNT

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri, di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha, hari ini.

Selain itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan langkah pencegahan banjir khususnya bagi menangani masalah air pasang selain pembinaan parit dan longkang.

“Kita kena tangani masalah air pasang yang mana jika berlaku hujan, akan terjadinya banjir di beberapa kawasan.

“Parit serta longkang memang masalah yang perlu diatasi tetapi apabila takungan dan air hujan ini bertembung sudah pasti paras air akan meningkat.

“Jadi saya rasa adalah perlu kita tangani masalah ini seperti mana yang kita lakukan di Likas iaitu pengurangan banjir,” katanya.

Tambahnya daripada membelanjakan wang yang banyak untuk mengorek parit dan longkang, adalah lebih baik menggunakan kewangan tersebut untuk menjalankan projek pengurangan banjir.

“Kalau kita pakai duit itu untuk buat pengurangan banjir untuk mengawal paras takungan air, sudah pasti kita dapat menangani masalah ini,” katanya. -SabahNewsToday