Pilih Bahasa

Kerajaan Sokong Pertubuhan Bantu Bina Masyarakat: Wan Azizah

Raymond menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KENINGAU: Kerajaan menyokong apa jua pertubuhan yang membantu kerajaan untuk membina masyarakat dengan lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian ketika melancarkan Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM) di sini, pada Isnin.

“Pada masa sama, keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama ini perlu dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa ucapan. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Kemajuan yang ingin kita kecapi harus bebas daripada penindasan terhadap mana-mana golongan, selaras dengan perlembagaan Negara.

“Oleh yang demikian, pertubuhan ini perlulah mengambil langkah bijak dan bertanggungjawab dalam membantu komunitinya dan komuniti lain di sekitarnya.

Para penyambut tetamu berpakaian traditional menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Saya difahamkan PKKMM ditubuhkan untuk memperjuang, membela dan mempertahankan kelangsungan masyarakatnya,” katanya ketika berucap sempena Program Memperkasa Komuniti Pengguna sempena Hari Malaysia 2018 di sini, pagi Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM). Kelihatan sama Raymond (kiri), Christina (dua dari kiri) dan Saifuddin (kanan). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

Pada masa yang sama, beliau turut melancarkan Program Food Bank Malaysia iaitu program percubaan bersama pasaraya-pasaraya utama di seluruh negara.

Menurutnya, pada ketika ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang program tersebut untuk memanfaatkan lebih ramai keluarga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat pameran. Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Saya percaya bahawa Program Food Bank Malaysia akan menjadi titik permulaan untuk meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mensyorkan syarikat-syarikat pasaraya, pengilang dan industri perhotelan untuk turut serta bersama-sama KPDNHEP dalam menjayakan Program Food Bank Malaysia,” tambah beliau.

Untuk rekod, Giant Keningau mengenalpasti PKKMM sebagai rakan strategik yang akan memainkan peranan penting dalam pengumpulan dan pengedaran makanan kepada golongan yang memerlukan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKKMM, Raymond Ahuar.-SabahNewsToday/Jabatan Penerangan