Pilih Bahasa

Kerajaan sokong usaha KPLB bantu usahawan desa di Sabah

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie (kiri) berkata sesuatu kepada Rina (dua dari kanan) semasa mengunjungi tapak pameran peserta [email protected] Zon Sabah 2019. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membantu usahawan-usahawan desa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sokongan itu juga diberikan untuk membantu KPLB dan pihak kerajaan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam membantu usahawan luar bandar.

“Kita akan memberi sokongan sebaik mungkin untuk membolehkan apa sahaja inisiatif KPLB di negeri ini untuk kebaikan dan keperluan rakyat.

“Kita akan beri sokongan penuh agar masalah yang timbul kita boleh selesaikan untuk membolehkan supaya sebarang usahasama mewujudkan prasarana serta keusahawanan dapat kita sampaikan ke peringkat luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD)@KPLB Zon Sabah 2019 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Mohd Shafie juga berkata kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dari segi rangkaian, kewangan mahupun pasaran yang diperlukan dalam membantu usahawan-usahawan desa.

Hal demikian kerana, katanya masih banyak bahan mentah negeri yang boleh dijadikan produk dan mempunyai daya saing.

Melalui [email protected] itu juga, beliau berharap ia bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan usahawan tetapi menggalakkan lagi lebih ramai masyarakat luar bandar berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Kita sedar sektor keusahawanan merupakan satu sektor penting yang memberi sumbangan ke arah peningkatan ekonomi ketika negara kita berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Oleh itu kita perlu mewujudkan kemudahan dan usaha untuk memastikan supaya penglibatan usahawan-usahawan di peringkat luar bandar akan dapat kita  tingkatkan,” katanya.

Menurut beliau keusahawanan mempunyai potensi yang cukup baik kerana sebahagian besar sumbernya berada di luar bandar, cuma mungkin tidak dimanfaatkan ketika ini.

Contohnya, beliau berkata belum ramai usahawan yang mengeluarkan produk limau bali walaupun Tenom merupakan pengeluar terbaik buah tersebut di negara ini. – SabahNewsToday