Pilih Bahasa

Kerajaan teliti semula MoU pemuliharaan badak Sumatera dengan Indonesia

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) akan mengadakan satu perjumpaan dengan Konsulat Indonesia minggu hadapan sebagai usaha pemuliharaan badak sumbu Sumatera yang diancam kepupusan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata pertemuan tersebut adalah bertujuan membincangkan mekanisme terbaik bagi tujuan pemuliharaan itu.

Datuk Christina Liew. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya beliau juga bersedia untuk merujuk semula dan menambah baik Memorandum Persefahaman (MoU) yang pernah disediakan suatu ketika dahulu bagi tujuan sama tetapi tidak dimeterai.

“Kita akan berjumpa dengan Konsulat Indonesia di sini dalam minggu hadapan bagi membincangkan beberapa perkara termasuk mengatur satu lawatan rasmi kerajaan negeri ke negara tersebut.

“Antara lain bertujuan untuk berbincang dengan kerajaan Indonesia berkenaan 13 MoU yang pernah disediakan dalam usaha memulihara badak sumbu Sumatera di sini.

“Kita akan melihat, kepentingan dan apa kekurangan memorandum berkenaan yang mana tidak dimeterai sepenuhnya pada ketika itu. Dengan adanya perbincangan ini, kerajaan negeri berharap satu keputusan atau kesepakatan dicapai bagi membendung badak sumbu Sumatera Sabah daripada pupus,” katanya.

Badak Sumbu Sumatera. Gambar Fail SNT/Ihsan zoochat

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri, di Plaza Sunset, Menara Tun Mustapha, hari ini.

Jelasnya lawatan rasmi itu bukan sahaja diadakan terhadap Jabatan Hidupan Liar Jakarta tetapi juga Aceh.

Tambahnya beliau dimaklumkan bahawa Aceh masih mempunyai kira-kira lebih 50 ekor badak sumbu Sumatera pada ketika ini.

“Oleh itu, kita berharap juga agar Indonesia meminjamkan beberapa ekor badak sumbu Sumatera ini kepada Sabah untuk dibiakkan melalui kesepakatan itu nanti.

“Saya tidak kisah jika anak pertama badak sumbu Sumatera melalui MoU ini diserahkan dahulu kepada Indonesia.

“Apa yang penting kita mahu badak sumbu Sumatera Sabah tidak akan pupus,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Christina juga bercadang untuk membina replika spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan yang dinamakan Tam menggunakan rangkanya dan disimpan di Muzium Negeri.

Katanya ia membolehkan rakyat Sabah dan pelancong luar melihat sendiri saiz sebenar spesies berkenaan.

“Tam telah mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu pada 27 Mei lalu akibat organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik selain faktor usia.

“Oleh itu, saya akan berjumpa dengan Pengarah Muzium Negeri dan Jabatan Hidupan Liar selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kita akan duduk semeja dan berbincang cara untuk menjayakannya dan berapa pantas ia boleh disiapkan,” tambahnya. -SabahNewsToday