Pilih Bahasa

Kerajaan terus perkasakan program Mesej dan Kampung Sejahtera

KENINGAU: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus memperkasakan Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) dan Program Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, antara penambahbaikan yang baru diperkenalkan ialah pelaksanaan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Aktiviti Pelancongan Luar Bandar di perkampungan program Mesej.

Ewon (empat dari kiri) dan Fredian (lima dari kiri) bersama para pemimpin dan ketua-ketua jabatan yang hadir pada majlis itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Bagi menggalakkan aktiviti pelancongan, dua Mesej pertama yang diberikan peruntukan untuk membangunkan homestay dan aktiviti pelancongan mereka ialah di Mesej Kaingaran, Tambunan dan Mesej Kinolosodon, Papar.

“Sementara itu, program-program berkaitan aktiviti ekonomi tambahan seperti pertanian jangka pendek dan perusahaan ternak juga diperkenalkan sebagai punca pendapatan tambahan kepada keluarga isi rumah peserta di Mesej,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama keluarga isi rumah peserta Mesej Bunang, Keningau, di dewan Mesej Bunang, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain program pembangunan ekonomi dan infrastruktur asas, kementeriannya juga bercadang mempelbagaikan program berkaitan sosio-kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan di Mesej dan Kampung Sejahtera.

“Saya telah meminta program-program sosio-kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan diadakan di perkampungan Mesej supaya ianya menjadi satu wadah kepada interaksi dan komunikasi di antara pimpinan Kerajaan, pegawai-pegawai pelbagai agensi dan jabatan yang terlibat pembangunan Mesej,” katanya.

Beliau berkata, interaksi seumpama ini penting untuk terus mendapatkan maklumat bagaimana meningkatkan kualiti hidup mereka, termasuk memudahcarakan permohonan biasiswa dan pembiayaan pendidikan kepada anak-anak peserta yang mendapat tawaran ke institut pengajian tinggi.

Ewon bersama para peserta Mesej Bunang. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon berkata Mesej dan Kampung Sejahtera merupakan antara dua program utama kementerian itu yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat bagi membangunkan ekonomi keluarga isi rumah miskin serta meningkatkan kualiti hidup kampung terpinggir melalui akses kepada kemudahan dan program ekonomi.

“Setakat ini, kita mempunyai 52 program Mesej dan 55 program Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

“Saya telah berpeluang melawat sebahagian perkampungan program ini dan memang banyak keperluan untuk menambahbaik serta memperkasakan pelaksanaan program ini. Ini kerana ada yang menunjukkan kejayaan dan ada juga yang berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Charles Dalansing, Ketua Pegawai Pentadbir LKTNS Haji Fauzie Jamlee, Penolong Pegawai Daerah Ahmad Shah Sunoh, Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahruddin Mat Husain dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Eward Kandok serta pegawai-pegawai daerah di kawasan -SabahNewsToday