Pilih Bahasa

Kerajaan tetapkan 20 peratus wanita menjadi ahli Majlis PBT

Oleh Alfred Petrus

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus golongan wanita dalam negeri dilantik di peringkat pembuat keputusan sebagai ahli dalam Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata ia adalah salah satu usaha kerajaan dalam menitikberatkan pembangunan golongan wanita Sabah. 

“Selain itu, ia adalah bagi mengarusperdanakan peranan dan penglibatan wanita dalam memajukan negeri ini. Di samping itu, kerajaan turut menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Wanita.

“Pusat tersebut mampun memberi bantuan guaman yang merangkumi nasihat guaman dan bantuan peguam untuk mewakili mereka di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Jelas Tun Juhar sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pelbagai langkah akan dilaksanakan sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup tinggi yang dihadapi rakyat.

“Untuk itu, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Belanjawan Negara 2019.

“Antara lain, belanjawan tersebut adalah untuk menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas untuk Sabah dan Sarawak,” jelasnya. – SabahNewsToday