Pilih Bahasa

Kerajaan usaha perangi kempen anti sawit Kesatuan Eropah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama merangka strategi baharu bagi menstabilkan harga dan memperluas pasaran minyak sawit sebagai usaha perangi kempen anti sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Syamsul Iskandar Mohd Akin berkata kempen yang dilancarkan tidak berasas dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada industri sawit dunia termasuk Malaysia.

Pengarah Urusan syarikat Gamalux Oil, Usman Ahmed (kanan) memberi cendera kenangan yang disaksikan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Syamsul Inskandar Mohd Akin (tengah). Gambar SNT / Ihsan KIU

“Berikutan kempen ini, harga sawit mentah terjejas dan kerajaan kini mengambil beberapa langkah bagi menstabilkan harga termasuk meneroka pasaran baharu dan mengukuhkan pasaran sedia ada.

“Kerajaan juga sedang giat mempromosikan Malaysia Sustainable Palm Oil Certification (MSPO) yang mana penghasilan industri sawit berstandard tinggi akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan pembeli minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan beliau ke Kilang Gamalux Oil Sdn Bhd, hari ini.

Syamsul turut menggesa semua pihak supaya membuka ruang kepada kerajaan untuk berkongsi kebaikan industri sawit negara selain memberikan ruang untuk kerajaan menjawab sebarang kemusykilan berkaitan industri berkenaan.

Syamsul Iskandar (dua kiri) mendengar taklimat semasa lawatan beliau ke kilang Gamalux Oils Sdn Bhd di Lahad Datu hari ini. Gambar SNT/Ihsan KIU

Menyentuh berkenaan lawatan itu, Syamsul memuji kejayaan yang diperoleh kilang Gamalux Oils Sdn Bhd yang sudah menjana keuntungan sejak penubuhannya pada tahun 2015.

“Kewujudan kilang Gamalux Oils Sdn Bhd di kawasan ini bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi tempatan tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan,” katanya.

Beliau berharap syarikat berkenaan akan terus maju dan membantu kerajaan memerangi kempen anti-sawit demi mengekalkan kelestarian industri sawit negara. – SabahNewsToday