Pilih Bahasa

Kerajaan mahu pastikan Stem dikuasai, hadapi cabaran masa kini

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memastikan penguasaan dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) terhadap pelajar bagi menghadapi cabaran baharu masa kini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata jika matlamat berkenaan difahami oleh warga pendidik seluruh negeri, usaha untuk meningkatkan keperluan industri diperlukan di Sabah.

Dr Yusof beramah mesra dengan para tetamu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi, kita mempunyai hubungan rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mana kita cuba berunding dengan mereka supaya memahami kehendak dan masalah yang dihadapi.

“Saya sebagai exco di Kementerian Sumber Manusia sedang membuat pelan tindakan mengenai keperluan sumber manusia di sini secara menyeluruh.

“Kita menyediakan pelan tersebut yang mana beberapa keperluan di pelbagai industri yang diperlukan seperti industri perkayuan, minyak dan gas, pertanian dan sebagainya,” katanya.

Dr Yusof. Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Jalinan Mesra Hari Raya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Wisma JPNS, hari ini.

Tambahnya perancangan dalam menyusun pelan tersebut perlu terlebih dahulu merancang di peringkat pengajian tinggi bagaimana untuk melatih anak-anak Sabah ke arah keperluan terbabit.

“Perkara inilah yang kita tekankan dan tengah lakukan di sini. Saya yakin kita boleh mencapai matlamat ini dan kita akan ada unjuran iaitu lima sehingga 10 tahun yang akan datang.

“Namun, kita tidak boleh tunggu lama, kita kena buat cepat untuk melakukannya bagi memenuhi keperluan industri,” jelasnya. -SabahNewsToday