Pilih Bahasa

Kerana keropok nyawa melayang

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Keropok berharga RM2 dikenalpasti punca utama pergaduhan  mengakibatkan kematian seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Petagas, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata kejadian itu berlaku antara seorang pemuda berusia 31 tahun yang juga anak kepada mangsa, Abdul Shukur Abdullah, 57, berikutan salah seorang lelaki warga Pakistan di kedai runcit berkenaan salah faham yang menyatakan pemuda berkenaan tidak membayar keropok dibelinya.

Datuk Omar Mammah dalam sidang media pada hari ini. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Omar berkata akibat pergaduhan terbabit, anak lelaki mangsa mengalami patah kaki dan tangan selepas dibelasah dua lelaki warga Pakistan dalam insiden berkenaan.

“Siasatan mendapati, anak mangsa bersama cucunya berumur enam tahun datang ke kedai runcit milik suspek untuk membeli keropok.

“Selepas membayar dua keropok bernilai RM4.50 kepada suspek pertama, lelaki berkenaan terus beredar pulang namun kembali semula ke kedai runcit sama kerana menyedari keropok dibeli tidak mencukupi untuk anaknya yang berada di rumah.

Screenshot video yang tular di media sosial selepas kedua anak beranak dipukul dalam pergaduhan tersebut. Gambar Fail SNT

“Mangsa membeli sebungkus lagi keropok sebelum memasukkan keropok itu ke dalam plastik sama selepas membuat pembayaran kepada suspek kedua.

“Bagaimanapun, suspek pertama salah faham serta menyangka mangsa mencuri keropok itu ketika mahu keluar daripada kedai runcit terbabit hingga menimbulkan pergaduhan antara mangsa dan kedua-dua suspek,” katanya ketika sidang media, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Omar berkata , pergaduhan terbabit disedari Abdul Shukur dan terus bergegas ke lokasi bagi meleraikan pergaduhan berkenaan namun keadaan menjadi tidak terkawal sebelum mangsa turut sama dibelasah.

Menurut beliau, sebaik sahaja pergaduhan dileraikan, Abdul Shukur yang mengalami kecederaan parah dihantar ke di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) namun disahkan meninggal dunia sehari selepas mendapatkan rawatan.

Sementara itu, beliau menyatakan, akibat kejadian terbabit, kereta Proton Saga milik suspek kedua dibakar tetapi kejadian terbabit masih dalam siasatan polis.

“Semua suspek warga Pakistan masing-masing berusia 44 dan 30 tahun terbabit dalam kes ini sudah ditahan dan direman sehingga esok untuk membantu siasatan.

“Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh kini ditukar kepada Seksyen 302 atas kesalahan membunuh.

“Laporan hospital menunjukkan punca kematian mangsa disahkan akibat pendarahan ‘Subarachnoid’ otak akibat trauma pada leher.

“Kita juga akan menyiasat insiden kebakaran kereta milik suspek mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api,” katanya. -SabahNews Today