Pilih Bahasa

KERETA TERBABAS, “MELEKAT” DI TIANG ELEKTRIK DI PIRASAN, KOTA BELUD

Oleh Alfred Petrus

Keadaan kereta yang dipandu oleh mangsa selepas terbabas dan “melekat” di tiang elektrik di jalan Kampung Pirasan, Kota Belud. -Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang remaja berumur 17 tahun tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di sini hari ini.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) 2, Derin Maridum berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbabas dengan sendirinya di jalan Kampung Pirasan, Kota Belud.

Jelasnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan berkenaan pada jam 9.38 pagi.

Derin yang juga Ketua Operasi berkata, setibanya di lokasi, mereka dapati mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital Kota Belud dengan bantuan orang awam.

Tambahnya, pasukan Bomba membuat pemeriksaan kenderaan yang masih melekat pada tiang elektrik dan juga sekitarnya bagi memastikan tiada bahaya lain.

Operasi ditamatkan pada jam 09.55 pagi. -SabahNewsToday