Pilih Bahasa

KERETA TERJUNAM DALAM SUNGAI, ELAK DITANGKAP POLIS

Oleh Mohd Adam Arinin

Screengrab dari video klip yang tular menunjukkan suspek cuba berenang ke sebelah tebing selepas keretanya terjunam ke dalam Sungai Sembulan petang tadi. Gambar SNT/sumber media sosial

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dikehendaki bagi beberapa siri kes samun di sekitar bandaraya jatuh bersama-sama keretanya ke dalam Sungai Sembulan semasa cuba mengelak daripada ditangkap polis petang tadi.

Suspek diburu polis selepas terlibat dengan kejadian samun Isnin lepas yang mengakibatkan mangsanya mengalami kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu Deputi Superitendan Mohd Hamizi Halim melihat kenderaan suspek setelah dinaikkan dari Sungai Sembulan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Semasa di dalam air suspek, seorang warga tempatan, keluar dari kereta dan cuba berenang untuk melarikan diri namun sia-sia bila akhirnya dia berjaya ditangkap pasukan polis.

Saat kejadian kereta dan suspek terjunam ke dalam sungai turut dirakam oleh orang ramai yang tular di media sosial.

Drama kejar mengejar tersebut bermula sebaik suspek keluar dari sebuah pusat beli belah menuju ke keretanya selepas menggunting dan mewarnakan rambutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek dikesan memasuki pusat membeli belah itu kerana dipercayai ingin menukar imej bagi mengelakkan dikenali polis.

“Sebaik siap menggunting dan mewarnakan rambut, suspek kembali ke kereta sebelum diserbu polis menyebabkan suspek bertindak memecut keretanya,” katanya ketika ditemui di lokasi suspek ditahan, di Sembulan Lama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu Deputi Superitendan Mohd Hamizi Halim berada di lokasi kejadian. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jelas Habibi, suspek bertindak untuk melanggar anggota polis yang mengejarnya sebelum beberapa das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta suspek berhampiran pusat beli belah itu.

Walaupun tembakan tersebut mengenai sasaran, suspek terus memandu dalam keadaan tayar kereta pancit.

“Suspek kemudian memecut ke kawasan ini (Kampung Sembulan) sejauh lebih kurang empat kilometer dan pihak polis terus mengekorinya sehingga tiba di kawasan tebing Sungai Sembulan, suspek bertindak terjun bersama kereta kancil miliknya kedalam sungai dan berenang melarikan diri.

“Usaha suspek bagaimanapun berakhir ke jalan buntu sebelum ditahan pihak polis di dalam air kemudiannya,” katanya.

Menurut Habibi, suspek adalah individu yang dikehendaki pihak polis selepas menyamun seorang wanita berumur 29 tahun berhampiran rumah mangsa di Taman Hiburan, malam Isnin lalu.

“Ketika kejadian suspek bertindak memukul kepala mangsa menggunakan benda tajam sebelum melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai, barang kemas dan kad bank.

“Mangsa kini berada di hospital dan mengalami kecederaan yang agak teruk di bahagian kepala akibat dipukul suspek,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan. -SabahNewsToday